comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Banjir di Johor kembali buruk akibat hujan berterusan

 

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor kembali buruk.

Sejak jam 4 pagi hingga tengah hari ini, semua daerah di Johor dilaporkan masih hujan.

Segamat menjadi daerah keempat dan terbaharu dilanda banjir, dengan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pagi tadi.

Anggota polis menjalankan pemantauan banjir di Segamat. – Foto: Polis Daerah Segamat / Facebook

PPS di Balairaya Kampung Batu Badak yang ditutup pada jam 5 petang Selasa lalu, dibuka semula jam 10 pagi berikutan ada penduduk yang perlu dipindahkan dengan jumlah terkini mangsa masih dikemas kini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah menasihatkan penduduk di kawasan rendah serta sering dilanda banjir, supaya sentiasa memantau keadaan semasa dan berpindah segara jika paras air naik mendadak.

Anggota polis menjalankan pemantauan paras air sungai di Segamat. -Foto: Polis Daerah Segamat / Facebook

“Sila pantau setiap aktiviti anak-anak supaya tidak bermain air banjir kerana dikhuatiri dibawa arus dan bagi mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya melalui kenyataan dimuat naik di Facebook Polis Daerah Segamat.

Dalam pada itu, Kota Tinggi membuka semula empat PPS selepas situasi banjir di daerah itu kembali buruk.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di daerah itu meningkat kepada 229 orang daripada 60 keluarga setakat jam 12 tengah hari, berbanding 84 orang daripada 19 keluarga jam 10 pagi tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sehingga tengah hari ini, empat daerah di Johor terjejas dengan banjir dan 10 PPS beroperasi.

Antara mangsa terjejas banjir di Taman Desa Riang, Kota Tinggi, pagi ini. -Foto: Polis Daerah Segamat / Facebook

“Jumlah mangsa banjir di Johor kini meningkat kepada 456 orang daripada 125 keluarga, berbanding 338 orang daripada 92 keluarga jam 10 pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di Mersing, satu PPS ditutup dan kini jumlah mangsa banjir di daerah itu direkodkan seramai 123 orang daripada 32 keluarga di satu PPS.

Katanya, Kluang dan Segamat masing-masing mempunyai satu PPS beroperasi kini menempatkan 84 orang daripada 28 keluarga dan 20 orang daripada lima keluarga.

Anggota dari Balai Polis Bukit Besar membantu mengawal lalu lintas di KM18 Jalan Kulai – Kota Tinggi yang dinaiki air akibat limpahan air dari sungai berdekatan. – Foto: Polis Daerah Segamat / Facebook

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, tiga jalan di Kota Tinggi masih dinaiki air, dengan Jalan Mawai Lama masih dibuka hanya untuk kegunaan kenderaan berat.

Jalan Kota Tinggi-Kluang dan Jalan Kota Tinggi-Kulai pula kedua-duanya ditutup untuk laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Metrologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga hari ini di semua daerah di Johor, namun tiada sebarang amaran ribut petir dikeluarkan di mana-mana kawasan.

Loading...
Terkini