comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Johor, pasukan “Boatman” IPD Kluang mula sibuk

KLUANG: Pasukan “Boatman” ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini mula sibuk membantu membawa mangsa banjir ke tempat selamat.

Ketua polis Daerah, ACP Bahrain Mohd Noh berkata, pasukan “Boatman” yang diketuai seorang pegawai Kanan dan 7 anggota polis telah diwujudkan khusus bagi membantu mangsa banjir di daerah itu.

Daerah Kluang Antara kawasan paling kerap dilanda banjir terutama pada muslim Monsun Timur Laut (MTL) sekarang.

Katanya, sebelum ini pasukan berkenaan banyak membuat latihan bagi berdepan situasi banjir.

Ujarnya, sejak beberapa minggu kebelakangan ini pasukan itu mula sibuk membantu menyelamatkan dan memindahkan mangsa yang terkesan banjir.

“Pagi tadi pasukan berkenaan diaturgerak ke kawasan Renggam bagi membantu membawa keluar penduduk yang terperangkap banjir yang terdiri daripada 6 orang dari dua keluarga untuk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Kg Tengah, Renggam”  katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, beberapa hari lalu, pasukan terbabit turut ditugaskan menghantar barang makanan kepada penduduk orang Asli.

Antaranya Kampung Orang Asli Peroh, Kampung Orang Asli Berasau dan Kampung Orang Asli Pucur, Kahang, yang laluan daratnya  terputus akibat banjir.

Bantuan membabitkan 220 paket beras dan 30 kotak air mineral yang diterima daripada Pertubuhan IHSAN Johor untuk diagihkan oleh pegawai JAKOA Daerah di 6 perkampungan orang Asli .

Beberapa mangsa yang ditemui mengucapkan terima kasih dan syukur atas bantuan yang dihulurkan Pasukan “Boatman” IPD Kluang.

“Saya dan keluarga amat terharu dan bersyukur kerana pertolongan mereka, hanya Allah jua yang membalas jasa baik mereka,” kata Arshad Alimudin salah seorang mangsa yang ditemui di Renggam.

Polis Daerah Kluang menasihati orang ramai untuk terus berwaspada dan berhati-hati dalam menghadapi situasi banjir memandangkan cuaca hujan yang masih berterusan.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Bilik Gerakan IPD Kluang di talian 07-7766822 atau menghubungi mana-mana balai yang berdekatan untuk mendapatkan bantuan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini