comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Johor kian pulih, jumlah mangsa terus berkurang

Semua mangsa banjir di enam daerah terjejas banjir di negeri ini kini masih ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

JOHOR BAHRU: Setakat jam 8 pagi ini, banjir di Johor beransur pulih apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 4,942 orang membabitkan 1,369 keluarga.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir di enam daerah terjejas banjir di negeri ini kini masih ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi dan Johor Bahru semakin berkurangan, manakala jumlah mangsa banjir di Kluang, Segamat, Batu Pahat dan Pontian tidak berubah.

“Kota Tinggi kini mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 4,057 orang daripada 1,120 keluarga yang ditempatkan di 24 PPS manakala di Johor Bahru juga menurun kepada 336 orang membabitkan 89 keluarga di tiga PPS yang masih beroperasi.

“Kluang tidak berubah dengan 350 mangsa daripada 102 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di tiga PPS; Segamat kekal 95 orang daripada 28 keluarga di tiga PPS; Batu Pahat dengan 87 mangsa daripada 26 keluarga di dua PPS, manakala Pontian masih 17 mangsa daripada empat keluarga di satu PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran ribut petir di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, manakala amaran waspada iaitu hujan berterusan dikeluarkan di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka esok hingga Ahad.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini