comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir Puing, Kepala Air Dijangka Kerap Berlaku

KUALA LUMPUR : Kejadian banjir puing, aliran puing dan kepala air di negara ini akan lebih kerap berlaku dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, ini disebabkan oleh tiga faktor iaitu keragaman iklim, tindakan manusia dan tabi’e ekosistem itu sendiri.

“Faktor ini juga menyebabkan fenomena geobencana menjadi semakin tidak terkawal. Namun, untuk menentukan tahap keterukan dan kekerapan bencana itu terjadi, perlu melihat banyak aspek.

“Kita perlu melihat bagaimana terbentuknya taburan hujan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Dengan bertambahnya taburan hujan, maka risiko kejadian geobencana di kawasan pergunungan akan meningkat.

“Ini sesuatu yang boleh dilihat secara empirikal di mana apabila hujan turun secara ekstrim di sesuatu kawasan, kejadian tanah runtuh akan berlaku di kawasan itu,” katanya.

Untuk rekod, banjir puing dan aliran puing adalah bencana alam yang digeruni kerana impaknya boleh menyebabkan kematian serta merosakkan harta benda.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 25 kejadian aliran, banjir puing dan kepala air yang meragut 442 nyawa.

Kejadian pertama berlaku pada 30 Jun 1995 di Kilometer 38.6, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Genting Sempah, Selangor.

Insiden terbaharu ialah pada 4 Julai lalu di Sungai Kupang, Kedah membabitkan gabungan insiden kepala air, banjir puing dan aliran puing.

Nor Shahidah berkata, banjir puing dilihat merbahaya kerana jangkauan air banjir itu boleh hingga ke kawasan hilir sungai berbanding kepala air.

“Banjir puing membawa bahan-bahan puing (kayu-kayuan, batu-batuan dan mendapan tanah runtuh) yang berat.

“Apabila air banjir ini turun dari puncak bukit atau gunung, aliran air menjadi lebih deras, bertenaga tinggi dan bersifat catastrophe (menyebabkan kerosakan sangat teruk).

“Ia memerlukan lingkungan kawasan yang luas untuk menghilangkan tenaga air berkenaan. Sebab itu, jangkauan aliran puing boleh mencapai radius sejauh dua hingga tiga kilometer,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, masyarakat semakin giat meneroka kawasan ‘sensitif’ (hutan) yang pada dasarnya mereka melakukan penanaman semula dengan pelbagai jenis tanaman.

Namun, katanya, tindakan itu sudah mengurangkan tahap keberkesanan fungsi hutan sekunder untuk menyerap air hujan ke dalam tanah bagi mengurangkan risiko banjir, tanah runtuh dan hakisan, berbanding hutan primer.

“Hutan primer mempunyai pokok dengan sistem kanopi tersendiri selain ketinggian berbeza yang dapat mengelakkan kenaikan air larian permukaan menerusi penyerapan air ke dalam tanah yang efektif.

“Kita tidak boleh menghentikan kejadian geobencana tetapi apa yang boleh dilakukan ialah cara beradaptasi dengan fenomena berkenaan.

“Contoh, melalui sistem amaran awal banjir supaya penduduk dapat bertindak pantas menyelamatkan diri serta harta benda.

“Selain itu, kita boleh mengurangkan risiko impak geobencana ini terhadap masyarakat dan kemusnahan infrastruktur,” katanya.

Jelasnya, adalah mustahil untuk membaik pulih semula keseimbangan sistem hidrologi yang terjejas ini.

Tetapi, ada beberapa perkara boleh dilakukan bagi mengurangkan impak geobencana.

“Antaranya dengan mengurangkan penerokaan hutan dan perlu membina sistem mitigasi banjir bagi mengelakkan bencana alam ini memusnahkan penempatan penduduk. Sistem ini (mitigasi banjir) perlu direncanakan secara menyeluruh dan tidak boleh dibina setempat.

“Oleh itu, ia memerlukan gerakan menyeluruh daripada kerajaan untuk melihat kesesuaian struktur yang perlu dibina bagi menghalang impak geobencana menimpa penduduk,” katanya.

Nor Shahidah berkata, beberapa negara maju seperti Jepun, Hong Kong dan Singapura sudah mempunyai pelan sistem mitigasi banjir.

“Dalam pelan ini, negara terbabit turut menyediakan pelan pembangunan dan peruntukan kewangan sekitar 10 peratus daripada belanjawan mengurus negara bagi perbelanjaan bencana.

“Ini kerana, negara berkenaan menyedari implikasi geobencana yang boleh melumpuhkan ekonomi sekiranya tidak mempunyai perancangan teliti,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini