comscore
Tumpuan :
Nasional

Bantuan kita bermakna untuk Turkiye – PM

Foto NADMA – Malaysia menghantar seramai 75 anggota SMART bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

PETALING JAYA: Perdana Menteri yakin bantuan yang diberikan Malaysia kepada Turkiye amat bermakna, terutama usaha negara menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berlepas malam ini bagi membantu negara berkenaan yang dilanda gempa bumi, awal pagi tadi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu juga diberikan selepas pihaknya menerima permohonan kerajaan Turkiye.

“Ada permohonan dari Turkiye selepas negara mereka ditimpa musibah, berikutan itu saya sudah arahkan menteri berkaitan untuk segera siapkan pasukan dan dikirimkan dalam tempoh segera.

“Pasukan SMART adalah kumpulan terlatih untuk kendalikan kes seperti tanah runtuh serta gempa bumi. Walaupun kekuatan Turkiye ada, sebagai negara sahabat yang rapat dengan negara itu, bantuan yang kita berikan ini sangat bermakna kepada mereka,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Ibu Pejabatnya, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataannya sebelum ini berkata Malaysia menghantar seramai 75 anggota SMART bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi.

Menurut laporan media, lebih 1,200 orang terbunuh manakala ribuan lagi cedera selepas gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye pada 4.17 pagi tadi. Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

Loading...
Terkini