Tumpuan :
Nasional

Bapa empat anak mengaku tidak bersalah bersubahat benarkan rakan rogol adik ipar bergilir-gilir

Seorang penganggur, 29, menghadapi tuduhan bersubahat dengan rakan-rakannya untuk merogol adik iparnya di sebuah rumah di Wangsa Maju. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan bersubahat dengan rakan lain yang masih bebas untuk merogol adik iparnya secara bergilir-gilir di sebuah rumah, bulan lalu.

Artikel berkaitan: Wanita sedang tidur diperkosa 5 rakan abang ipar, rakam perbuatan

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Bapa empat anak itu didakwa bersubahat dengan rakan sejenayah yang masih bebas untuk memudahkan perbuatan rogol berkumpulan ke atas seorang wanita berusia 26 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Wangsa Maju antara jam 2 pagi dan 3.30 pagi, 30 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 107 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 375B kanun sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun serta dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Roslizi tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan berat selain mempunyai hubungan dengan mangsa iaitu abang ipar.

“Sekiranya mahkamah memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan bimbang usaha mengesan suspek yang masih bebas akan tergendala apatah lagi tertuduh adalah abang ipar dengan mangsa.

“Jika tertuduh diberi jaminan, suspek yang masih bebas boleh melarikan diri atas makluman tertuduh, ada tiga orang sekurang-kurangnya yang rogol mangsa, tiga suspek itu masih lagi bebas,” katanya.

Pihak pendakwaan juga bimbang mangsa yang akan menjadi saksi pendakwaan diganggu kerana tinggal serumah bersama tertuduh dan isterinya.

“Kami tidak menawarkan jaminan kerana kes ini serius, sangat berisiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun tertuduh dalam rayuannya memohon supaya dibenarkan ikat jamin kerana mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat anak.

“Saya mohon dibenarkan jaminan, mungkin isteri saya (sebagai penjamin),” katanya.

Izralizam turut bertanya sama ada isterinya mengetahui dia didakwa di mahkamah hari ini, tertuduh berkata, dia tidak pasti dan kali terakhir berjumpa isterinya ketika menyerah diri di balai polis.

“Tiada ahli keluarga lain (penjamin), kalau ada pun mungkin sepupu.

“Saya juga sudah berhenti kerja dan ada sakit semput,” kata tertuduh.

Mendengar hujahan kedua-dua pihak, Izralizam tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

“Penjamin tidak hadir ke mahkamah dan buat masa ini, tertuduh tidak dibenarkan jaminan.

“Selepas ini, saya beri satu tarikh dan jika ada peluang lantik peguam untuk hujahan mengenai jaminan dan hubungi rakan serta keluarga untuk jadi penjamin,” katanya.

Sebutan semula kes ditetapkan  12 Oktober depan.

Laporan media sebelum ini menyebut hutang dengan rakan dikatakan punca seorang lelaki membenarkan suspek merogol adik iparnya bergilir-gilir di rumah mereka di Wangsa Maju.

Artikel berkaitan: Rogol bergilir-gilir: Abang ipar mangsa ingin langsaikan hutang rakan

Loading...
Terkini