comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayaran Skim Subsidi harga padi RM730,000 dibuat kepada 300 pesawah meninggal dunia

Oleh: Juliana Sharin & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Pembayaran Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) kepada pesawah yang tidak dipantau sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengakibatkan pengurusan oleh pembayarannya menjadi tidak teratur.

Data SSHP yang tidak kemaskini menyebabkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) membayar RM730,000 kepada 300 pesawah yang telah meninggal dunia.

Perkara itu antara 8 rumusan yang dibuat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dalam Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

“Semakan audit mendapati 300 orang penerima bayaran SSHP direkodkan meninggal dunia dalam tempoh kematian sehingga 15 tahun.

“Sejumlah RM730,000  dibayar kepada pesawah yang meninggal dunia melibatkan 453 transaksi. Pembayaran SSHP sepatutnya dibuat kepada waris berdasarkan pendaftaran baharu bagi kes kematian,” menurut laporan itu.

Punca utama adalah tiada prosedur atau mekanisme yang jelas di peringkat KPKM untuk menetukan kesahihan data penerima SSSHP dan status kad daftar pesawah bedasarkan laporan bayaran SSHP yang dikemukakan syarikat konsesi.

Dalam perkembangan sama, PAC turut memaklumkan perjanjian konsesi Bernas yang bermula sejak tahun 1996 dan berakhir pada tahun 2011 dilanjutkan sebanyak dua kali dan akan berakhir pada tahun 2031.

“Perjanjian konsesi ini akan menjangkau tempoh 35 tahun. Kos konsesi Perjanjian Ketiga berjumlah RM3.216 bilion yang bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031,” dijelaskan dalam laporan itu.

Justeru PAC tampil dengan 8 syor kepada kerajaan antaranya perlu mengkaji alternatif dalam menjamin kestabilan beras negara, bagi mengelakkan kebergantungan kepada perjanjian konsesi Bernas, sekali gus mendorong ke arah pasaran terbuka beras.

PAC turut menggesa KPKM memantau Akaun Amanah Dana Obligasi Sosial Bernas bagi memastikan segala penyaluran dan penggunaan dana berkenaan mengikut syarat ditetapkan dalam perjanjian.

Syor ketiga, KPKM hendaklah memastikan Bernas menyalurkan dana obligasi tepat pada masanya selaras dengan perjanjian konsesi Bernas.

Malah KPKM, Bernas dan JPN perlu segera mengintegrasikan dan mengemas kini pangkalan data pesawah bagi memastikan pembayaran SSHP dapat dilaksanakan dengan lebih telus, efisien dan teratur.

Naib Pengerusi PAC, Wong Shu Qi dalam sidang media di lobi Parlimen menjelaskan kenyataan itu dibuat berhubung satu prosiding yang dibuat pihaknya terhadap tiga saksi pada 14 Jun lalu.

Loading...
Terkini