comscore
Tumpuan :
Nasional

Subsidi ayam tamat: Penjimatan RM100 juta sebulan tingkat inisiatif, kebajikan rakyat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Penjimatan sebanyak RM100 juta sebulan susulan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 Nov ini membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi siaran soalan lazim penamatan subsidi ayam, menyebut penjimatan itu juga dapat digunakan bagi memperkasa industri penternakan ayam.

Ia termasuk melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti dan program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.

 

Mengenai persoalan sama ada harga ayam naik selepas subsidi ditamatkan pada 1 Nov ini, KPKM menyebut harga sekilogram ayam pada peringkat runcit di kawasan luar bandar dijangka masih sekitar RM10.40 sekilogram, namun harga ayam di peringkat hypermarket atau pasar raya besar dijangka tidak akan melebihi RM9.40 sekilogram.“

Walaupun sebelum ini kerajaan menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 satu kg, tetapi peniaga di peringkat runcit telah mengenakan caj pemotongan antara RM1 ke RM2 sekilogam, menjadikan harga belian ayam menjadi RM10.40 sekilogram,” menurut KPKM.

Bagi membantu pengguna di kawasan luar bandar, KPKM menyebut kerajaan akan menganjurkan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara dengan harga jualan ayam akan kekal kompetitif dan tidak membebankan rakyat.

Mengenai persoalan langkah kerajaan jika harga ayam naik mendadak selepas harganya diapungkan, KPKM menyatakan kementerian itu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan sentiasa memantau harga ayam dari peringkat ladang sehingga ke outlet peruncitan dari semasa ke semasa.

Menurut KPKM, sekiranya berlaku kenaikan mendadak akibat kekurangan bekalan, kementerian itu telah bersedia untuk mengimport ayam dari sumber negara luar bagi mencukupkan bekalan dalam negara.

“Namun begitu, jika berlaku kenaikan mendadak, kerajaan boleh mengenakan kawalan harga bersekali dengan subsidi atau tidak bersubsidi,” menurut KPKM.

Mengenai harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan selepas pengapungan itu, KPKM memaklumkan asas harga di wilayah berkenaan adalah sedikit tinggi sepanjang kawalan harga dibuat berdasarkan faktor-faktor serta kos setempat.

“Apabila diapungkan, harga di wilayah-wilayah ini dijangka mengalami sedikit penyelarasan di peringkat pasaran pengeluar, borong dan juga runcit. Bagaimanapun, harganya dijangka kekal stabil jika bekalan bahan ini mencukupi dan tiada gangguan di peringkat pengeluaran,” menurut kementerian itu.

KPKM memaklumkan kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam sejak Februari 2022 dan rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini