comscore
Tumpuan :
Nasional

Bayi 3 bulan alami pendarahan mata, disyaki didera warga asing

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Dua warga asing ditahan kerana disyaki mendera bayi berusia tiga bulan sehingga menyebabkan pendarahan pada mata kanan dan kecederaan di kepala di sebuah rumah di Pandan Indah, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai perubatan dari Hospital Ampang.

“Pada 3 Ogos (Khamis lalu), 8.40 malam, seorang doktor menerima pesakit bayi lelaki warga asing dalam keadaan separa sedar yang dibawa ibunya untuk menerima rawatan.

“Mangsa lebam di bahagian kepala, pendarahan pada mata kanan dan tidak dapat menggerakkan tangan kiri dan kanan…mangsa dicurigai didera di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, bertindak atas maklumat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ampang menahan dua lelaki warga asing terbabit dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Pandan Indah 1/23C, 1.05 tengah hari, di sini hari ini.

Difahamkan, ibu mangsa yang juga sepupu kepada seorang daripada suspek berusia 19 tahun tinggal bersama-sama di rumah berkenaan.

Bayi yang didera itu dijaga oleh suspek ketika ibu mangsa keluar bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, permohonan reman kedua-dua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (pengabaian kank-kanak).

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan dendam tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Loading...
Terkini