comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan air untuk baki pengguna daerah Barat Daya dijangka pulih petang ini

Foto: NSTP

BUTTERWORTH: Baki pengguna di bawah 16,000 akaun Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di daerah Barat Daya, dijangka memperoleh semula bekalan air, selewat-lewatnya pada jam 6.30 petang ini.

Setakat ini, PBAPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan 104,000 daripada 120,000 pengguna yang terjejas susulan kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai, telah menerima bekalan air.

“Kini PBAPP sedang berusaha untuk memulihkan bekalan air untuk baki 16,000 akaun pengguna menjelang jam 6.30 petang hari ini.

“Tumpuan pemulihan membabitkan 10 kawasan, iaitu Batu Itam, Batu Maung, Bukit Belah, Bukit Penara, Flat Lily, Jalan Ismail Hashim, Jalan Pondok Upeh, Pulau Betong, Sungai Ara dan Teluk Tempoyak serta sekitarnya,” menurut PBAPP.

Faktor utama yang mempengaruhi pemulihan bekalan air di kawasan terjejas ialah permintaan air yang tinggi di daerah Barat Daya ketika ini selepas pelan tindakan kecemasan berjaya dilaksanakan kelmarin.

“Di samping itu, pengguna yang telah mendapat bekalan air telah mula menyimpan air untuk pelaksanaan gangguan bekalan air (SWSI) yang dijadualkan esok.

“PBAPP juga mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke Pulau Pinang dengan berhati-hati bagi mengelak kejadian di Sungai Perai berulang,” menurut PBAPP.

Pengguna di kawasan selain 10 yang dinyatakan yang masih tidak mempunyai bekalan air diminta memeriksa sistem retikulasi dalaman mereka sebelum memfailkan laporan melalui Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-2558255.

“PBAPP akan terus memberikan maklumat terkini mengenai tahap akhir pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan terbabit.

Dalam kejadian Selasa lalu, saluran paip di dasar Sungai Perai mengalami kebocoran sekali lagi, menjadikan ia insiden ketiga selepas dua kejadian paip bocor dilaporkan pada Disember 2023 dan 12 Januari lalu.

Beberapa kejadian itu mendorong kerajaan Pulau Pinang melaksanakan kaedah pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai bagi mengatasi masalah saluran paip air bocor di sungai berkenaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini