comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekalan beras tempatan kembali stabil dalam masa sebulan – Mat Sabu

Oleh: Selwam Arjunan

KEPALA BATAS: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa bekalan beras putih tempatan akan kembali stabil di pasaran dalam masa sebulan.

Menurut beliau,  penuaian padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang sedang dilakukan sekarang akan menampung kekurangan beras tempatan.

“Padi di kawasan MADA sedang dituai 20 peratus dan akan dikilangkan segera. Dengan itu , Insyallah beras tempatan akan kembali stabil dalam masa sebulan.

“Harga beras tempatan (tidak naik kerana) berada dalam harga kawalan. Setakat ini pihak pemborong dan pengilang semua beri kerjasama untuk mencukupkan beras itu dalam pasaran.

“Kita akan cuba buat intervensi di mana berlaku kekurangan. Kita tampung melalui FAMA dan LPP,” kata beliau selepas melawat Peladang Outlet di Pokok Sena, di sini, siang tadi.

Sementara itu, beliau juga mengulangi ingatan kepada orang awam supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan beras tempatan mencukupi buat masa ini.

Pembelian panik yang berlebihan menyebabkan terdapat isu rumah yang tidak dapat membeli beras untuk kegunaan harian.

“Jangan buat panic buying  kerana ingatkan dua bulan lagi beras tidak ada, maka nak beli secara banyak.

“Hanya beli dengan kadar biasa kerana kenaikan harga hanya membabitkan beras import secara mendadak.

“Kenaikan harga beras import ini berlaku di seluruh dunia termasuk negara jiran kita Indonesia menghadapi kenaikan harga beras import,” tambah beliau  lagi.

Ditanya mengenai perbuatan pihak tertentu yang turut menaikkan harga beras tempatan dan menyorok bekalan itu, beliau berkata kerajaan sedang mengambil tindakan agresif untuk menangani masalah berkenaan.

“(Tindakan) Itu sedang kita tangani. Sentiasa buat serbuan kalau ada aduan beras dijual dengan harga import.

“Langkah agresif diambil oleh (Ketua Pengarah Kawalan Padi dan Beras) Datuk Azman Mahmood dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang turun ke padang untuk mengambil tindakan sewajarnya,” ujar beliau.

Sebelum ini, Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh dilaporkan berkata tuaian padi semasa di kawasan MADA mencapai 20 peratus dengan anggaran hasil kasar pengeluaran sebanyak 100,000 tan metrik setakat Isnin, iaitu  bersamaan  54,000 tan atau 5.4 juta beg beras.

MADA turut menjangkakan status kemajuan aktiviti tanaman padi di kawasan Muda mencapai 90 peratus pada pertengahan bulan depan dengan hasil kasar pengeluaran sebanyak 450,000 tan metrik iaitu bersamaan 274,000 tan beras.

Loading...
Terkini