comscore
Tumpuan :
Nasional

MADA diarah selesai isu bekalan, harga BPS

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diarah untuk menyelesaikan segera isu kelewatan bekalan dan benih padi sah (BPS) yang dijual melebihi harga ditetapkan kerajaan iaitu RM45 per kampit 20 kilogram (kg).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, arahan sama turut dikeluarkan kepada Kawalselia Padi dan Beras, Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta pengilang BPS.

Menurutnya, beliau telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di dua kilang yang mendapat permit mengeluarkan BPS di Kedah, semalam susulan aduan daripada beberapa pertubuhan petani serta pesawah.

“Saya datang meninjau sendiri bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) (Datuk Lokman Hakim Ali); Pengerusi MADA (Datuk Dr Ismail Salleh) dan pengarah untuk mengetahui secara dekat apa sebab kekurangan benih padi.

“Kita dapati ada beberapa permasalahan yang kita cuba selesaikan. Insya-Allah MADA akan memperolehi benih padi dalam masa singkat,” katanya.

Jelasnya, pihak pengilang turut memberi komitmen untuk membekalkan BPS dengan kadar segera kepada MADA.

Sebelum ini, media melaporkan pesawah di Kedah kian tertekan apabila harga BPS mengalami kenaikan harga mendadak sekali gus merencatkan musim penanaman padi baharu 2023/24.

Terdahulu, KPKM melaksanakan penyelarasan harga kawalan maksimum baharu bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) di Semenanjung, berkuat kuasa 20 Oktober lalu.

Ia melibatkan penyelarasan harga maksimum di pintu gudang syarikat pengeluar BPS daripada RM31 kepada RM40 per kampit 20kg, manakala harga maksimum di peringkat peruncit diselaras daripada RM35 kepada RM45 per kampit 20kg.

Mengulas lanjut, Mohamad juga mengarahkan pemeriksaan dan penguatkuasaan dipertingkatkan di kawasan luar seliaan MADA.

Beliau mahu tindakan tegas dikenakan ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan penjualan padi benih pada harga RM45 per kampit 20kg.

“Kita harap pihak pembekal benih padi menyelesaikan (isu) untuk musim tanaman padi kali ini. Jangan tergendala kerana penanaman padi telah dijadual oleh pihak MADA dan pihak yang menentukan musim supaya tidak tergendala soal pengurusan air, baja dan lain-lain,” katanya.

Loading...
Terkini