comscore
Tumpuan :
Nasional

Bekas pegawai kanan DBKL bersalah atas 2 tuduhan rasuah

Bekas Timbalan Pengarah Kanan DBKL, Sabudin Mohd Salleh, disabitkan atas dua pertuduhan memperoleh suapan RM200,00, hari ini. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mendapati bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh bersalah atas dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan itu sebelum pendakwaan menfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hakim, K Muniandy, memutuskan perkara berkenaan selepas mendapati Hakim, Rozina Ayob, membuat kesilapan dan tersalah arah apabila membebaskan tertuduh pada akhir kes pembelaan.

“Atas sebab itu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk membenarkan rayuan itu dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

“Dengan ini, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan hukuman atas pertuduhan terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, hakim menetapkan 15 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman.

Pada 2 Jun lalu, pihak pendakwaan menegaskan bahawa Mahkamah Sesyen keliru dengan dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja yang dihadapi Sabudin.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, dilaporkan berkata, hakim perbicaraan kemudian menyalahkan pendakwaan kerana gagal menunjukkan bahawa terdapat keperluan bagi Sabudin untuk meminta rasuah daripada saksi utama pendakwaan, Wong May Kuan iaitu subkontraktor kepada syarikat Dusari Niaga.

Peguam, K Theivaendran mewakili Sabudin pula berkata, Mahkamah Sesyen sudah membuat dapatan yang betul ketika membebaskan anak guamnya berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi.

Pada 15 September 2022, Sabudin menitiskan air mata selepas kali kedua dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen daripada dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.

Keputusan itu dibuat Hakim, Rozina Ayob, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya mematahkan serta menyangkal kes pendakwaan dengan memberikan penjelasan yang jujur.

Pada 4 Julai tahun lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil lima saksi termasuk Sabudin untuk memberi keterangan pada prosiding bermula 12 Mei lalu.

Pada 24 Mac tahun sama, Mahkamah Tinggi memerintahkan Sabudin membela diri atas dua pertuduhan itu, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 18 Disember 2020, yang melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL, didakwa memperoleh suapan wang tunai RM200,000 daripada Wong May Kuan.

May Kuan adalah subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk DBKL Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)’ sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Loading...
Terkini