comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Belasah isteri guna topi keledar, lelaki didakwa di mahkamah

Muhammad Asmirul (kanan, baju hitam, pakai pelitup muka) didakwa sengaja cederakan isterinya guna topi keledar minggu lalu. – Foto: NSTP

ALOR GAJAH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, atas tuduhan memukul isterinya menggunakan topi keledar, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Asmirul Abdullah, 27, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Nur Adilah Mohd Fadli, 27, dengan cara memukul telinga dan bahu kiri mangsa menggunakan topi keledar.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di tepi jalan berdekatan Kampung Ma Lok, Kuala Sungai Baru, di sini, pada jam 11.30 malam 9 November lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun, denda dan sebatan.

Berikutan tertuduh tidak mengaku bersalah, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon tarikh sebutan baharu bagi serahan dokumen.

Beliau juga mencadangkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu perbicaraan selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana menanggung anak dan isteri.

Hakim Nariman Badruddin kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin bercagar serta menetapkan kes disebut semula pada 18 Disember depan untuk serahan dokumen.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini