comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Berang cinta ditolak, lelaki bakar kedai telefon bimbit

 

Oleh Shaharil Kadir

TELUK INTAN: Berang cinta ditolak, disyaki menjadi motif seorang lelaki nekad membakar sebuah kedai telefon bimbit, tempat wanita itu bekerja di Langkap, dekat sini, petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri, tindakan pantas polis dapat menahan suspek, 54 di tempat kejadian.

Lelaki warga tempatan itu turut melecur di muka, tangan dan kaki .

“Suspek ditangkap dalam keadaan mabuk dipercayai di bawah pengaruh alkohol. Dia telah dimasukkan ke wad Hospital Teluk Intan untuk rawatan susulan”, katanya.

Tambahnya, terdapat saksi melihat suspek datang menyimbah petrol sebelum membakar kedai berkenaan.

Jelas beliau, kebakaran kedai yang juga milik adik wanita itu berlaku ketika mangsa, 46, sedang membuat laporan di Balai Polis Langkap kerana bimbangkan keselamatannya selepas suspek mengamuk di kedai terbabit kira-kira jam 2.30 petang, sehingga mencederakan wanita itu .

Dia turut melemparkan kata-kata lucah dan mengugut akan membakar mangsa dan tempat kerjanya.

Menurut Ahmad Adnan, suspek dikatakan sering datang ke kedai telefon itu untuk memikat mangsa.

“Suspek beberapa bulan kebelakangan ini seringkali datang ke kedai dalam keadaan mabuk dan cuba memikat pengadu tetapi pengadu menolak dengan cara baik kerana telah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak”, katanya.

​​​​​​​Suspek direman lima hari untuk siasatan mengikut seksyen 435/323 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini