comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis cari saksi kes bunuh di Langkap

Polis sedang mengesan D Tanabalan bagi membantu siasatan. – FOTO: Ihsan Polis

TELUK INTAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan awam mengesan seorang saksi bagi membantu siasatan kematian seorang mangsa lelaki dipercayai dibunuh dengan objek tajam di Langkap, di sini, 5 April lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya sedang mencari lelaki dikenali sebagai D Tanabalan, 42, beralamat terakhir di No 6 Ladang Degong Ratanui, Langkap, Perak.

Katanya, saksi terbabit diminta tampil memberi keterangan berhubung kes kematian seorang lelaki di Hospital Teluk Intan (HTI) pada 5 April lalu.

“Pihak polis menerima panggilan telefon daripada seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan HTI, memaklumkan menerima seorang pesakit lelaki berusia 40-an dalam keadaan luka di bahagian dada dan leher akibat terkena senjata tajam serta mangsa tidak sedarkan diri pada 8.15 malam.

“Siasatan menerusi pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup CCTV di bahagian zon merah wad kecemasan hospital berkenaan mendapati, seorang lelaki memandu kereta Proton Saga menghantar mangsa ke hospital dan terus menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, polis berjaya menangkap enam suspek lelaki dan seorang suspek wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun di lokasi berbeza dalam daerah Hilir Perak antara jam 10 malam, Jumaat hingga 3 petang, Sabtu lalu.

“Hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas kesemua suspek yang ditangkap, mereka mengaku berada di tempat kejadian semasa pergaduhan berlaku di antara si mati dengan kawan mereka di sebuah taman perumahan di Langkap.

“Punca pergaduhan disebabkan rasa cemburu ke atas si mati yang menganggu isteri salah seorang daripada mereka.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penama ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Shahrul Shamsudin di talian 05-6233969 atau 017-9752668 dan mana-mana balai polis berhampiran bagi mengesan saksi bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semua tujuh direman selama tujuh hari sehingga 12 April untuk siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini