comscore
Tumpuan :
Nasional

Bertindak jika Telegram mampu rosakkan masyarakat

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tindakan segera perlu diambil terhadap penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Telegram jika aplikasi berkenaan mampu memudaratkan umum.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun aplikasi itu tidak sebanyak aplikasi lain namun kesan negatif yang wujud daripadanya dilihat cukup untuk merosakkan masyarakat.

“Apabila pihak pengendali saluran tidak mahu bekerjasama dengan Menteri Komunikasi dan Digital (Fahmi Fadzil) atau pegawai Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), saya merasakan langkah-langkah susulan mesti dilakukan.

“(Ini) kerana negara kita mempunyai sistem, biarpun kita mempunyai perjanjian atau protokol untuk melayani semua saluran media, namun perkara yang bukan sahaja soal perundangan tapi bahan-bahan yang terkandung dan tersebar dalamnya harus dilakukan pencegahan.

“Jika ada negara ataupun negeri di bawah governance (tata kelola) tertentu telah mengharamkan saluran tertentu umpamanya, maka saya berpendapat jika ianya merosakkan masyarakat, ianya hendaklah dilakukan tindakan segera,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melancarkan Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual, hari ini.

Ahmad Zahid turut bersetuju dengan langkah dilakukan KKD serta mahu pendirian Fahmi didokong semua pihak terutama pengguna Telegram.

Sabtu lalu, Fahmi dilaporkan berkata, Telegram dikesan masih gagal untuk bertemu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara walaupun sudah beberapa kali dipanggil oleh KKD pada tahun ini.

Fahmi memaklumkan, pihaknya sudah bertemu dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan platform media sosial yang lain kecuali Telegram, yang dilihat enggan bekerjasama.

Katanya, aduan dan laporan yang diterima daripada pelbagai pihak berhubung pelbagai isu keselamatan siber, penipuan, pornografi dan penjualan barangan terlarang di Telegram ketika ini adalah cukup membimbangkan.

Telegram disekat kerajaan Indonesia, Iran dan Brazil berikutan aplikasi tersebut dikatakan turut digunakan untuk menyebarkan propaganda radikal dan keganasan, kebencian, kaedah pembuatan bom serta serangan.

Loading...
Terkini