comscore
Tumpuan :
Politik

Draf MoU pengagihan peruntukan wakil rakyat pembangkang masih dirangka – Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim di Pusat Khidmat ADUN Stakan. – FOTO: NSTP

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Perpaduan masih memperhalusi intipati draf memorandum persefahaman (MoU) untuk diserahkan kepada pakatan pembangkang bagi menyelesaikan isu pengagihan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penyediaan draf itu perlu melalui beberapa peringkat sebelum keputusan muktamad dibuat.

Beliau berkata selepas dipersetujui Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, draf itu akan diagihkan pula kepada pihak pembangkang.

“Selepas kami mengagihkan draf itu, mereka pula akan menilai sama ada bersetuju dengan inti pati yang disediakan ataupun mereka mahukan pindaan.”

“Selepas pembangkang meneliti draf itu baharulah kami (Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan) akan membuat keputusan muktamad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim di Pusat Khidmat ADUN Stakan, di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar serta Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Ketika ditanya apa antara inti pati draf MoU itu, Fadillah yang juga Ketua Whip Kerajaan Perpaduan berkata ia masih dalam penelitian dan akan diumumkan apabila dipersetujui semua pihak.

“Tunggulah apabila sudah ada (siap) dan muktamad, saya akan maklumkan…mohon press (media) bersabar dulu,” katanya sambil berseloroh.

Khamis lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Perikatan Nasional (PN) menyambut baik keputusan yang dibuat kerajaan bagi memberikan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun katanya, PN selaku pembangkang akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat dalam draf MoU yang sedang disiapkan kerajaan.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sri Perdana, Putrajaya, pada Rabu lalu secara dasarnya bersetuju untuk mengagihkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang dan berkata merangka satu draf MoU mengenainya.

Sementara itu, mengenai pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu, Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga parti tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata pihaknya belum menerima sebarang arahan sama ada akan turut terbabit dalam kempen membantu calon dari parti rakan dalam Kerajaan Perapduan.

“Setakat ini tiada sebarang direction (arahan) untuk itu. Kita tunggu sahaja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini