comscore
Tumpuan :
Nasional

Bezza rempuh belakang lori punca tiga maut di WCE

Anggota bomba sedang menyelamatkan mangsa kemalangan membabitkan tiga kenderaan di WCE berhampiran Changkat Jering, Taiping. – FOTO: Ihsan BBP Trong.

TAIPING: Siasatan awal mendapati insiden kemalangan maut yang mengorbankan tiga nyawa di Kilometer 262.5 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) arah utara semalam, bermula apabila sebuah kereta jenis Perodua Bezza merempuh bahagian belakang sebuah lori.

Tiba-tiba datang pula sebuah kereta Honda Civic merempuh Perodua Bezza itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Perodua Bezza telah melanggar bahagian belakang sebuah lori yang dipandu seorang lelaki di laluan sebelah kiri. Susulan itu datang sebuah kereta Honda Civic yang dipandu seorang perempuan dan tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta Perodua Bezza. Akibat rempuhan itu tiga mangsa berusia antara 36 hingga 73 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Hospital Taiping,” kata Mohamad Nasir dalam satu kenyataan.

Tambah Mohamad Nasir, mereka yang maut adalah pasangan suami isteri yang memandu Perodua Bezza, manakala tiga anak mereka mengalami kecederaan termasuk dua parah.

Mengikut beberapa laporan, pasangan suami isteri itu berkhidmat sebagai ustaz dan ustazah di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dekat Bagan Datuk, Perak.

Mereka sedang dalam perjalanan ke sekolah untuk memberikan hadiah kepada pelajarnya yang cemerlang menduduki peperiksaan.

Pemandu Honda Civic mengalami kecederaan patah kaki kiri dan tangan kanan, manakala ibu mertua kepada pemandu itu meninggal dunia di lokasi.

Jelas Mohamad Nasir lagi, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam dan keadaan jalan ketika itu gelap dan tiada lampu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini