comscore
Tumpuan :
Nasional

“Bimbing petani, penternak dengan kaedah pertanian moden, pemasaran digital” – titah Raja Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke 15.

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, menitahkan supaya kaedah pertanian moden dan pemasaran produk secara digital dapat dipelopori secara meluas bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara.

Titah baginda itu dibacakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada istiadat Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15, hari ini.

Dalam titahnya, kumpulan petani dan penternak perlu diberikan pendedahan dan bimbingan untuk meningkatkan hasil pendapatan walaupun melibatkan keluasan pertanian yang kecil.

“Beta menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri dan pelabur-pelabur bersaiz sederhana serta individu-individu tempatan yang telah membangunkan projek-projek pertanian komersial di negeri Perlis.

“Ini dapat dilihat dengan adanya ladang harumanis, superfruits, nanas, jagung bijian, pusat- pusat ternakan lembu, kambing, ayam kampung, itik dan burung puyuh.

“Keadaan tanah subur di Perlis juga telah membolehkan tanaman jagung bijian berkualiti tinggi dan rumput napier dapat dihasilkan secara besar-besaran di negeri ini.

“Terkini, Perlis merupakan salah satu negeri yang telah membantu negara mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan makanan ternakan dari negara luar,” demikian titah baginda yang dibacakan Raja Muda Perlis.

Dalam titahnya juga, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan harapan agar sektor agro-makanan turut diceburi golongan muda supaya lebih ramai usahawan tani dapat dilahirkan dari kelompok itu.

Di Perlis misalnya, baginda memuji lapan graduan belia yang berjaya dilatih melalui Projek Usahawan Tani Perlis Superfruits Valley dan baginda berharap agar usaha itu dapat membantu memacu kelestarian sekuriti makanan negara.

Loading...
Terkini