comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba bantu turunkan pesakit obesiti dari tingkat empat

Foto Ihsan Bomba

MELAKA: Sepasukan bomba mengambil masa 15 minit untuk membawa turun seorang lelaki obesiti dari tingkat empat kediamannya di Lorong Pandan, di sini, untuk dibawa ke Hospital Melaka, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada jam 10.13 pagi, memaklumkan memerlukan bantuan untuk membawa turun seorang lelaki berusia 50 tahun yang perlu dirujuk ke hospital.

Beliau berkata, susulan itu sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama tujuh anggota termasuk komander operasi ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan terbaring berada didalam bilik dan difahamkan dia tidak dapat bangun untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Anggota bomba kemudian meletakkan lelaki terbabit yang mempunyai berat badan dianggarkan kira-kira 140 kilogram diatas cadar sebelum membawa turunnya dengan dibantu petugas kesihatan,” katanya.

Menurutnya, operasi membawa turun lelaki terbabit dari tingkat empat mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum dia dibawa pihak KKM ke hospital bagi menerima rawatan.

“Operasi membawa turun lelaki itu, dilakukan dengan penuh berhati-hati bagi mengelak daripada berlaku sebarang kecederaan atau kejadian tidak diingin dan operasi tamat pada jam 10. 37 pagi,” katanya.

Loading...
Terkini