comscore
Tumpuan :
Nasional

Bot karam: Mayat kanak-kanak lelaki ditemukan

Pasukan penyelamat mengangkat mayat Joffizan yang ditemukan terapung di tepi sungai oleh orang awam. – FOTO: Ihsan Bomba

SEPULUT: Mayat seorang daripada tiga mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sinsingon, kelmarin ditemukan petang tadi.

Mangsa Joffizan Joffrinos, 9, ditemukan terapung di tepi sungai oleh orang awam, kira-kira 4.30 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pencarian hari ketiga bersama agensi dan penduduk kampung dimulakan pada 8.31 pagi bermula dari Jeti Salung ke Kampung Pagalungan.

“Seorang mangsa kanak-kanak lelaki berjaya ditemukan oleh orang awam kira-kira 15 kilometer dari lokasi bot karam.

“Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian ditangguhkan kira-kira 5 petang dan akan disambung esok pagi.

Terdahulu, kelmarin, Joffrinos Palandok, 36, bersama isteri Lerina Rody, 26, dan tiga anak mereka iaitu Carbrineleyvonne , 7, Joffizan, 9, dan Jilan, 5, menaiki bot dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Sinsingon selepas dari kebun.

Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai arus sungai yang deras menyebabkan bot dinaiki mereka karam.

Susulan kejadian itu, mayat Lerina ditemui oleh penduduk kampung, pada 3.15 petang kelmarin manakala Joffrinos dan Jilan berjaya menyelamatkan diri.

Carbrineleyvonne dan Joffizan serta seorang lelaki iaitu Lasimin Mantun, 38, dikhuatiri lemas selepas insiden itu berlaku semalam.

Loading...
Terkini