comscore
Tumpuan :
Nasional

Buang sikap individualisme, gembleng tenaga lonjak daya saing negara – Johari

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menggesa semua pihak mengetepikan sikap individualisme, sebaliknya bersama-sama menjiwai semangat kenegaraan, selain menggembleng tenaga meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Beliau berkata, ini kerana keampuhan semangat negara bangsa akan terbina menerusi semangat kenegaraan daripada kesatuan dan kesepaduan rakyat.

Tegasnya, negara dan rakyat sedang melalui pelbagai cabaran daripada pelbagai sudut dengan usaha gagasan perpaduan rakyat juga sudah melalui memori sejarah yang panjang dan penuh liku.

“Dunia kini sedang mengalami titik perubahan signifikan. Kini adalah abad Asia dan saya yakin pusat graviti ekonomi global sedang beralih arah ke Asia.

“Alhamdulillah, kitaran kemiskinan di Asia semakin dipecahkan dan rantau ini sedang beranjak sebagai penyumbang penting kepada ekonomi dunia yang mampan dan inklusif.

“Malah, Malaysia akan menjadi tuan rumah ASEAN pada 2025, selain saya yakin negara sudah siap siaga untuk memacu keberhasilan ASEAN agar kemajuan sosioekonomi warganya dapat dilonjakkan ke tahap lebih tinggi di lapangan serantau dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bersama Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Mengenai Parlimen Belia, Johari menjelaskan, ia akan dijadikan program inkubator untuk melahirkan barisan kepemimpinan generasi muda berketerampilan dengan proses pengundian ahli perwakilannya akan dirombak secara besar-besaran.

Parlimen Belia kini dikendalikan Parlimen selepas program berkenaan diserahkan Kementerian Belia dan Sukan.

“Pelbagai inisiatif bagi penganjuran program pembangunan golongan muda untuk melahirkan barisan kepimpinan berwibawa akan dirangka.

“Saya ingin menyeru anak muda mendalami pengertian perpaduan agar keharmonian negara akan terus terbela. Sebagai golongan yang akan memimpin negara, mereka harus dipersiapkan bagi menyumbang kepada pembangunan negara yang gemilang.

“Generasi muda sebagai pewaris negara harus giat memainkan peranan aktif dalam menyuntik semangat perpaduan dan kenegaraan agar sentiasa segar dalam mencipta kejayaan negara,” ujarnya.

Loading...
Terkini