comscore
Tumpuan :
Nasional

Bukan hilang tapi kena tahan pasal kes dadah

Poster lelaki hilang yang dikongsikan oleh polis Rompin melalui Facebook bagi menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenainya supaya tampil ke hadapan.

ROMPIN: Seorang penganggur yang dilaporkan hilang oleh keluarganya di Kuala Rompin di sini pada 8 Mac lalu rupa-rupanya telah ditahan pihak berkuasa negeri jiran.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitenden Nor Azman Yusof berkata pihaknya dimaklumkan oleh agensi kerajaan yang berpangkalan di Johor itu bahawa lelaki berusia 38 tahun itu di bawah jagaan mereka.

“Lelaki itu sihat dan selamat. Polis Rompin dimaklumkan agensi penguatkuasaan itu telah menahan individu terbabit bagi membantu siasatan satu kes dadah di Johor,” katanya.

Menurut Nor Azman, pihaknya juga telah memaklumkan keluarga lelaki terbabit mengenai keadaan terkininya.

Pada masa sama Nor Azman turut mengucapkan terima kasih kepada media dan orang awam kerana berkongsi maklumat poster orang hilang di media sosial berhubung dakwaan kehilangan lelaki itu sembilan hari lalu.

Setakat ini bagaimanapun masih tidak dipastikan punca lelaki itu ditahan dan sama ada dia memang sengaja menyerah kepada pihak berkuasa di Johor untuk ditangkap.

Lelaki itu dilaporkan hilang oleh isterinya pada kira-kira jam 8.30 malam 8 Mac lalu apabila dia masih lagi tidak balik ke rumah mereka di Kuala Rompin selepas seharian keluar rumah.

Susulan itu, polis kemudian berkongsi poster bagi memudahkan orang awam turut membantu mencari lelaki itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini