comscore
Tumpuan :
Nasional

Buruh ditahan polis, miliki dua laras senapang buatan sendiri

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Seorang buruh ditahan pihak polis kerana memiliki dua laras senapang buatan sendiri dalam serbuan di sebuah rumah di Pos Blau, dekat Gua Musang, semalam.

Lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Kota Bharu ditahan pada jam 4 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam operasi itu, dua laras senapang buatan sendiri, satu botol cecair yang dipercayai hidrokarbon (spirit) serta 15 biji guli milik suspek ditemui di dalam sebuah bilik.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kotak rokok menjumpai tiub straw lutsinar berisi enam biji pil dipercayai pil kuda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki yang mempunyai lima rekod kesalahan lampau termasuk dua dalam kes dadah dibawa ke IPD Gua Musang untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki itu memiliki senapang buatan sendiri untuk memburu haiwan di hutan termasuk seladang, rusa dan sebagainya.

“Senjata buatan sendiri ini berbahaya walaupun ia nampak satu benda boleh dibuat ringkas, namun jangan ada yang cuba mengubahsuai atau mencipta senjata sendiri.

“Justeru, orang awam dinasihatkan supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes jenayah dan boleh berhubung dengan pihak Pusat Kawalan Ibu Pejabat PolismKontinjen Kelantan di talian 09-7455555,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini