comscore
Tumpuan :
Nasional

Cik Kiah, ular sawa batik 220 kg ditemukan mati

Mohd Redzuan Abdullah Zawawi, 39, di sisi ular sawa batik peliharaannya, ‘Cik Kiah’ dengan berat sebanyak 220 kilogram dan panjang tujuh meter, yang ditemukan mati di sini. – Foto: NSTP

BALIK PULAU: Ular sawa betina dengan berat lebih 220 kilogram yang diberi nama ‘Cik Kiah’, ditemukan mati di sini, semalam.

Pemiliknya, Mohd Redzuan Abdullah Zawawi, 39, berkata, dia menyedari Cik Kiah sudah tidak bernyawa ketika mahu melakukan pemeriksaan rutin, kira-kira 10 pagi.

Mohd Redzuan berkata, Cik Kiah adalah daripada keluarga Malayopython reticulatus atau reculated python iaitu ular sawa batik saiz seakan anakonda.

Katanya, ia adalah antara sembilan ular sawa pelbagai genetik yang dipeliharanya dan mungkin paling besar di Asia, dengan panjang sehingga hampir tujuh meter.

“Saya pelihara Cik Kiah sejak lebih 20 tahun lalu, sehingga semalam, ia mati secara tiba-tiba.

“Memang sejak dua tiga hari lalu, badannya seperti tidak sihat, sehingga pagi semalam saya pegang Cik Kiah dan mendapati ia sudah tidak bergerak, manakala perutnya seakan kembung.

“Saya anggap Cik Kiah macam anak sendiri, namun saya reda apabila hayatnya berakhir pada usia berkenaan,” katanya yang memelihara haiwan eksotik berkenaan di sebuah rumah yang disewa khas.

Cik Kiah adalah ular yang paling disayangi berikutan mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana dengan haiwan itu, dia mula belajar membela ular sawa.

Mohd Redzuan berkata, Cik Kiah tidak pernah mencederakannya, malah sejak berita mengenainya dilapor beberapa media dan tular sebelum ini, rezeki dia dan keluarga juga ‘mencurah-curah’.

Katanya, pada masa ini, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah dimaklumkan mengenai kematian ular sawa itu dan mereka dijangka ambil Cik Kiah dalam tempoh 14 hari untuk diawet dan  disimpan.

Loading...
Terkini