comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca kering, suhu lebih 35 darjah Celsius di utara Semenanjung

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangka cuaca kering dan panas di beberapa tempat dengan suhu melebihi 35 darjah celsius, terutama di utara Semenanjung.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan berserta ribut petir berpotensi berlaku mulai hujung minggu ini di beberapa lokasi di pedalaman dan barat Semenanjung.

“Keadaan ini boleh meredakan cuaca panas di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Berdasarkan siaran laman web www.met.gov.my hari ini mendapati cuaca semasa yang mencatatkan suhu melebihi 35 darjah celsius antaranya ialah Kangar (36 darjah celsius) dan Alor Setar (36 darjah celsius).

Kelmarin, MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba, iaitu merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah celcius, sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga pula merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Kelmarin suhu panas tahap berjaga-jaga turut direkod di 21 kawasan iaitu seluruh Perlis; Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang serta Baling di Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Timur Laut di Pulau Pinang.

Sementara itu, Muhammad Helmi berkata, berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak.

“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di tengah dan selatan Sarawak.

“MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan (Waspada) untuk Sarawak berkuat kuasa sehingga esok,” katanya.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir monsun timur laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan hujan dan taburan hujan yang kurang, selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini