comscore
Tumpuan :
Nasional

Dadah RM9.02 juta dirampas, dua sindiket tumpas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan pengedaran dadah tempatan serta merampas dadah syabu bernilai RM4 juta, di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Gula-gula getah ‘berperisa’ dadah antara yang berjaya dirampas selepas polis menumpaskan dua sindiket dadah dalam serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar ibu kota, semalam membabitkan rampasan dadah bernilai RM9.02 juta.

Sindiket pertama tumpas dalam tiga serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur di dua lokasi, masing-masing di Cheras di sini serta Seri Kembangan, Selangor.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, berkata serbuan pertama dilakukan pada jam 2.10 petang di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Cheras dan pihaknya menahan dua lelaki tempatan, kedua-duanya berusia 22 tahun.

Hasil soal siasat ke atas dua suspek terbabit, katanya, polis menyerbu sebuah unit pangsapuri di lokasi sama serta sebuah unit kondominium di Seri Kembangan, Selangor.

“Siasatan mendapati dua unit kediaman itu dijadikan stor penyimpanan dadah dan hasil pemeriksaan, menemukan pelbagai jenis dadah seberat lebih 190 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM5.02 juta.

“Dadah yang dirampas terdiri daripada Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 165kg, ketamin (9kg), ekstasi (7.5kg), pil erimin 5 (4.5kg), gula-gula getah perisa dadah (3.5kg), kokain (1.6kg) dan syabu seberat 485 gram.

“Antara dadah yang dirampas daripada sindiket ini adalah gula-gula getah dadah yang menjadi antara produk terbaharu dihasilkan sindiket dadah dipercayai untuk pengguna dadah di pusat-pusat hiburan,” katanya.

Katanya, sindiket ini aktif sejak tiga bulan lalu dan mengedar dadah untuk pasaran sekitar Lembah Klang, utara dan selatan Semenanjung Malaysia.

Semakan lanjut, katanya, mendapati suspek pertama berperanan sebagai penjaga stor dadah dengan upah RM6,000 sebulan manakala suspek kedua berperanan sebagai ‘runner’ atau penghantar dadah dengan upah RM4,500 sebulan.

“Kedua-dua unit kediaman disewa atas nama individu lain dan suspek tidak mengetahui kadar sewa selain kenderaan digunakan untuk mengangkut dadah juga didaftarkan atas nama individu tidak dikenali.

Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan Toyota Vios dianggarkan bernilai RM25,000 dalam serbuan itu.

Kedua-dua suspek dalam kes itu kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 Julai ini untuk siasatan lanjut.

Sindiket kedua pula tumpas menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Desa Petaling di sini, bermula jam 2.40 petang hingga 5.30 petang, semalam.

Kok Chin berkata, dalam serbuan oleh pasukan JSJN Bukit Aman itu, polis berjaya merampas 120 bungkusan teh hijau berisi dadah jenis syabu seberat 126.18kg dianggarkan bernilai RM4 juta.

Katanya, dadah berkenaan yang disimpan dalam beg-beg plastik ditemui dalam but dan tempat duduk belakang sebuah kereta Proton Preve dipandu seorang lelaki.

“Pemandu kereta, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun disyaki berperanan sebagai ‘runner’ ditahan dan hasil soal siasat ke atasnya, kita tahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun disyaki penjaga stor dadah di sebuah rumah di Desa Petaling.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini membawa masuk dadah dari negara jiran menerusi jalan darat dan mengedarkan dadah berkenaan di pasaran tempatan, terutama di Lembah Klang,” katanya.

Kok Chin berkata, polis turut menyita dua kereta, masing-masing Mercedes Benz dan Perodua Alza daripada serbuan kedua bernilai RM97,700.

“Semakan mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka negatif.

“Mereka kini direman tujuh hari sehingga 17 Julai ini dan kita masih jalankan siasatan lanjut berhubung rangkaian sindiket ini yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini