comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwaan retak: Hanya kesan hitam, Lebuhraya SPE selamat digunakan – KKR

PETALING JAYA: Siasatan terhadap struktur Lebuhraya Setiawangsa Pantai (SPE) yang didakwa retak oleh pengguna media sosial sejak Jumaat lalu , hanya kesan hitam dan tidak melibatkan sebarang keretakan.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas KKR, pihak SPE dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta syarikat perunding telah serta merta mengadakan lawatan siasatan pada jam 11.00 malam 7 Jun lalu.

Ia bagi menjalankan pemeriksaan struktur di lokasi aduan iaitu di struktur bertingkat jenis ‘crosshead portal’ ‘Pier No 50’ di Jalan Cheras, Maluri, Kuala Lumpur.

“Pada 7 Jun 2024, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lebuhraya SPE telah menerima pelbagai aduan berkenaan penularan di media sosial perbandingan 2 keping gambar struktur di Lebuhraya SPE berhampiran Jalan Cheras Kuala Lumpur yang telah ‘disyaki retak besar’.

“Pihak LLM telah mengarahkan pihak SPE dan Jurutera Perunding EDP untuk membuat pemeriksaan ke atas aduan tersebut pada malam itu juga memandangkan ianya melibatkan keselamatan pengguna lebuh raya.

“Pemeriksaan dan siasatan terperinci secara visual jarak dekat dengan menggunakan jentera “skylift” telah dilakukan oleh pihak SPE dan syarikat perunding dengan kehadiran LLM. Hasil siasatan ke atas struktur berkaitan, telah mendapati ianya hanyalah kesan-kesan hitam di atas permukaan konkrit ‘crosshead’,” jelas KKR.

Siasatan juga mendapati kaedah pembinaan ‘crosshead portal’ melibatkan ‘multiple casting’ dan kesan hitam telah terkumpul pada ‘dry joint’.

Kesan hitam itu telah dipastikan bukan keretakan seperti yang ditularkan.

Jelas KKR lagi, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut turun padang bersama Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Sazali dan wakil syarikat perunding hari ini bagi meninjau lokasi berkenaan.

“Integriti struktur telah dipastikan kukuh dan selamat selepas siasatan dijalankan. YB Menteri telah diberikan penerangan secara terperinci berkenaan kesan-kesan hitam pada permukaan konkrit “crosshead” yang telah didakwa sebagai keretakan besar oleh para netizen.

“Jurutera Profesional daripada Perunding EDP telah mengesahkan integriti struktur adalah kukuh dan selamat setelah pemeriksaan dijalankan,” jelas KKR.

Loading...
Terkini