comscore
Tumpuan :
Nasional

DBKL diarah segera tebang pokok berisiko tinggi

PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan segera mengambil tindakan menebang pokok-pokok yang berisiko tinggi susulan kejadian terbaharu pokok tumbang di ibu negara hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pada masa sama, DBKL juga diarahkan menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap pada Julai ini bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Bagi memastikan kelestarian alam terus dijaga dan diberi perhatian, DBKL juga perlu memperincikan program penggantian semula pokok termasuk dengan meneliti kaedah-kaedah bagi memastikan pokok tersebut utuh dan selamat untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebatang pokok tumbang di Jalan Pinang berhadapan Kuwait Bank di ibu kota hari ini dan hampir mengenai kenderaan yang membawa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Bagaimanapun pokok berkenaan menghempap bahagian belakang kereta peronda polis jenis Proton X70 yang mengiringi Ab Rauf.

Pada 7 Mei lepas, kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail. — BERNAMA

Loading...
Terkini