comscore
Tumpuan :
Nasional

DBKL sudah diarah kenal pasti, tebang segera pokok berisiko tinggi di KL – Zaliha

Kejadian pokok tumbang yang menyebabkan beberapa kenderaan dihempap pokok di Jalan Sultan Ismail pada 7 Mei 2024. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah diarahkan mengambil tindakan segera dengan menebang pokok yang berisiko tinggi di Kuala Lumpur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berulang dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Katanya, beliau turut meminta DBKL mengadakan satu jawatankuasa bertindak (task force) untuk melihat secara terperinci berkaitan isu berkenaan.

“Kita akan panggil semua pemegang taruh, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), aborist dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menilai semula keadaan pokok-pokok sedia ada dan berusia yang ada di bawah bidang kuasa Jabatan Wilayah Persekutuan, khasnya di seluruh Kuala Lumpur.

“Hasil daripada kajian ini akan membolehkan kita mengenal pasti pokok berisiko dan harus diambil tindakan segera sama ada melakukan penebangan atau pemotongan,” katanya pada Sesi Taklimat Kolam Takungan Banjir (KTB) Bohol, di sini, petang ini.

Beliau berkata, kebanyakan pokok yang sudah berusia puluhan tahun itu mempunyai akar yang terlalu dalam dan memerlukan hasil kajian sekiranya penebangan atau pemotongan dilakukan.

“Kita juga melihat negara lain yang mempunyai sistem lebih terperinci berkaitan penanaman pokok di ibu kota, manakala perancangan jangka panjang pula DBKL perlu melihat jenis pokok, jarak untuk menanam pokok dan berapa keluasan tanah untuk ia tumbuh,” katanya.

Zaliha berkata, pemantauan dilaksanakan dua tahun sekali sejak 2019.

“Kita lihat keadaan sekarang perubahan cuaca yang tidak menentu, oleh itu kita perlu kerap melaksanakan pemantauan,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman kejadian pokok tumbang menghempap kenderaan berlaku di Jalan Pinang pada jam 3 petang ketika hujan lebat dan angin kuat melanda ibu kota.

Bagaimanapun insiden itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Dalam kejadian minggu lalu, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa dilaporkan cedera selepas dihempap pokok tumbang berusia 50 tahun di Jalan Sultan Ismail.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini