comscore
Tumpuan :
Nasional

Detik akhir bekas komando sebelum dilapor hilang

Detik-detik akhir bekas komando, Ab Manan Keri, 73, ketika menghadiri Majlis Jamuan Teh di Dataran Tasik Kluang dalam satu video yang dirakam seorang juruvideo bebas – Video Ihsan Husin Hassan

KLUANG: Bekas komando, Ab Manan Keri, 73, yang dikhuatiri hanyut ketika banjir kilat Rabu lalu, dilihat ceria berbual bersama hadirin ketika menghadiri Majlis Majlis Jamuan Teh di Dataran Tasik Kluang, di sini, sebelum kejadian itu.

Video itu dirakam  juruvideo bebas, Husin Hassan, 60,  kira-kira jam 2 petang sebelum keberangkatan tiba Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ke majlis terbabit.

“Mulanya hati saya tergerak nak temubual beliau (Ab Manan) tetapi tak jadi.

“Saya rakam video suasana di lokasi kejadian seperti tugas yang saya biasa buat apabila buat liputan di mana-mana majlis.

“Saya sempat cuit pinggangnya dan bergurau dengannya mengatakan pingat dipakai pada bajunya itu mahal dan dia (Ab Manan) ketawa,” katanya.

Berdasarkan rakaman video 36 saat itu, Ab Manan dilihat berpakaian kemeja biru cair dan beret hijau kedengaran mengucapkan “Assalamualaikum Tuanku” ketika duduk di meja yang disediakan.

Menurut Husin, pada hari kejadian, hujan melanda bermula jam 4 petang dan kawasan sekitar dilanda banjir kilat setengah jam kemudian.

“Selepas Tuanku berangkat pulang, kawasan itu dilanda banjir kilat dan orang ramai mula pulang kerana air naik separas buku lali.

“Saya pun pulang selepas itu dan saya tak sangka, beliau (Ab Manan) adalah komando yang dilaporkan hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman membantu pencarian mangsa.

Operasi memasuki hari ketiga membabitkan 80 pegawai dan anggota pasukan penyelamat termasuk Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kluang serta sembilan bot.

“Jarak pencarian ditambah membabitkan bahagian atas (hulu) dan hilir tempat kejadian dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sejauh kira-kira lapan kilometer, berbanding tiga kilometer sebelum ini.

“Kita juga melibatkan anggota unit penyelam skuba bomba,” katanya ketika dihubungi.

Pencarian turut membabitkan tiga sektor bahagian kiri dan kanan tebing sungai, bahagian dasar dan selaman dari Simpang Sungai Melantai hingga Jambatan kedua Jalen Paloh.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini