comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Dia tidak takut mati syahid walaupun sekelumit’

Mohammed, isterinya, Kholoud dan empat daripada lima anak mereka, Hasan, 13, Obaida 9, Khalid, 7, dan Amro, 4, maut dalam serangan rejim Zionis di perkampungan mereka di Bait Hanon, utara Gaza.

KUALA LUMPUR: Allahyarham Dr Mohammed J H Alzaanin, penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang terkorban dalam serangan rejim Zionis di Gaza kelmarin, selalu membandingkan betapa amannya Malaysia yang dirahmati Allah SWT.

Perkara itu dikongsi Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Usim, Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor.

Khairunneezam yang juga penilai pembentangan viva-voce Allahyarham berkata, beliau menerima berita sedih itu daripada rakan yang mempunyai hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Palestin serta media massa.

“Saya sangat terkejut dan sedih. Tetapi bangga sebab dia mati syahid. Dia pulang ke Palestin tak silap saya pada 10 September lalu.

“Walaupun Palestin sering bergolak tetapi dia tetap bangga bahawa warga Palestin diberi kekuatan luar biasa tidak pernah ada pada mana-mana rakyat lain, iaitu tidak takut mati syahid walaupun sekelumit,” katanya.

Selain Mohammed, 35, yang juga penuntut program Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia, isterinya, Kholoud M H Elzaneen, 30-an yang mengikuti Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan) Fakulti Sains dan Teknologi Usim turut terkorban.

Empat daripada lima anak pasangan siswazah berkenaan iaitu Hasan, 13, Obaida 9, Khalid, 7, dan Amro, 4, juga maut dalam serangan jam  8 pagi oleh rejim Zionis di perkampungan mereka di Bait Hanon, utara Gaza.

Turut terbunuh adalah 20 ahli keluarga sanak-saudara mereka.

Hanya anak sulung pasangan berkenaan iaitu, Jameel, 15, terselamat dalam serangan  yang mensasarkan orang awam itu.

Menurut Khairunneezam, kali terakhir bertemu Allahyarham sekitar Julai atau Ogos semasa beliau sedang membuat pembetulan laporan penulisan tesis akhirnya.

“Dalam beberapa tahun awal pengajiannya, Allahyarham sememangnya selalu hadir ke fakulti dan berbincang dengan saya dan rakan pensyarah lain berkenaan perkembangan penulisan beliau,” katanya.

Menurutnya, Mohammed adalah seorang kakitangan kerajaan difahamkan di Kementerian Dalam Negeri di Palestin.

Beliau berkata, Mohammed mendaftar ke Usim membuat pengajian sarjana bersama-sama isterinya di Fakulti Sains dan Teknologi seterusnya pelajar itu menyambung PhD di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

“Keperibadian beliau, mengikut pandangan saya, memang menunjukkan nilai warga Palestin sejati. Amanah, rajin, berdisiplin, menjaga agama, berani berkorban untuk negara dan agama, kuat semangat dan amat bersopan-santun.

“Kalau bicara mengenai Palestin, Allahyarham bukanlah yang suka ke hadapan dan bercakap mengenai perjuangan secara terang-terangan dan melulu.

“Tetapi jika berpeluang duduk bersamanya bersendirian atau dalam kumpulan perbincangan formal, tanyalah mengenai bumi anbia itu, pasti dia akan menyebut kemenangan hampir dalam genggaman. Yang hak adalah hak, batil adalah batil, itu antara ‘zikir’ yang selalu disebutnya.

“Sebutlah apa pun senjata dan ancaman seperti peluru, peluru getah, bom asap, bom sebenar, rifal atau apa saja yang menjadi satu bentuk kegerunan mungkin pada rakyat negara kita yang aman damai ini, tetapi itu adalah ‘pemandangan biasa’ saban hari sejak kecil yang dilalui Mohammed,” katanya.

Khairunneezam berkata, pada masa ini beliau tidak putus mendoakan keselamatan rakyat Palestin terutama seorang lagi pelajarnya, Bahaeldeen di Gaza.

“Dua hari lalu saya ada menerima mesej WhatsApp daripada Bahaeldeen yang menjelaskan kawasan rumah dia juga kena bedilan Israel.

Namun selepas itu sampai hari ini senyap, saya tak dapat lagi khabar beritanya,” katanya.

Loading...
Terkini