comscore
Tumpuan :
Nasional

Diskriminasi pemandu lanjut usia tidak sepatutnya wujud – MIROS

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Pemanduan adalah aktiviti kompleks yang memerlukan keupayaan fizikal, kognitif, dan emosi.

Jalan raya merupakan tempat awam yang dikongsi bersama dan memerlukan komunikasi efektif antara semua pengguna, tanpa mengira mod pengangkutan atau umur.

Dalam hal ini, Pegawai Penyelidik, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Ts Rabihah Ilyas ketika dihubungi Buletin TV3 percaya diskriminasi pemandu lanjut usia tidak sepatutnya wujud.

Menurutnya, masyarakat sepatutnya memahami kepentingan dan kewajaran  bagi setiap pemandu untuk mengakui keupayaan diri agar tidak membahayakan pengguna jalan raya yang  lain.

“Undang-undang jelas menyatakan bahawa pemandu perlu sihat dan berdaya untuk memandu.

“Denda boleh dikenakan kepada mereka yang memandu dalam keadaan tidak berdaya dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Namun, sejauh manakah kesedaran kita tentang keperluan ini? Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan sihat dan berdaya untuk memandu,” soalnya.

Dalam pada itu ketika ditanya keperluan meminda undang-undang sedia dalam menangani isu kemalangan jalan raya melibatkan warga tua, beliau menegaskan, tiada keperluan berbuat demikian.

Hematnya, dalam menangani isu terbabit, ia memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan melalui undang-undang sedia ada iaitu Seksyen 30 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Perundangan Malaysia hanya menetapkan had umur minima bagi kelayakan memandu, dan tidak menetapkan sebarang had umur maksima pemanduan.

“Namun, melalui Seksyen 30 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987  (Akta 333) memerlukan seseorang pemandu untuk memastikan dirinya berada dalam keadaan sihat untuk memandu.

“Dalam hal ini, Seksyen 30 (3) Akta 333 ini dipercayai sudah mencukupi dalam memastikan golongan yang berisiko untuk tidak memandu, tanpa menghalang pemandu berusia lain yang masih cergas untuk terus memandu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau juga berpandangan had umur bukanlah penentu mutlak dalam keupayaan seseorang itu untuk memandu.

Seandainya seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat, kebarangkalian untuk individu mempunyai kualiti kesihatan yang lebih baik di masa tuanya adalah tinggi berbanding mereka yang memilih sebaliknya.

“Keadaan sesuai untuk memandu atau fit-to-drive bukan sahaja melihat kepada faktor umur, tetapi juga faktor lain seperti kesihatan, kelesuan dan pengaruh bahan terlarang.

“Contohnya, penghidap sakit jantung kronik yang berusia 25 tahun boleh dikatakan tidak layak atau sesuai untuk memandu kerana dia perlu bergantung kepada ubat dan boleh mendapat serangan jantung pada bila-bila masa yang boleh membahayakan dirinya dan pengguna jalan raya yang lain.

“Seksyen 46 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) juga menyatakan bahawa memandu semasa menghidap penyakit atau ketidakupayaan adalah satu kesalahan yang  boleh dikenakan denda.

“Seksyen ini terpakai kepada semua pemandu tanpa mengira kategori umur dan tidak hanya memfokus kepada pemegang lesen warga emas sahaja,” jelasnya.

Terdahulu, negara seperti Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat juga tidak menghalang pemandu berusia untuk memandu.

Sebaliknya, diperkenalkan syarat tambahan bagi pembaharuan lesen, pemandu berusia melalui penilaian kompetensi dan kesihatan.

Untuk rekod, berdasarkan kajian MIROS menerusi penelitian data selama 20 tahun (2000-2020) mendapati warga emas terlibat dalam 8.9% nahas jalan raya dengan pemandu dan penunggang motosikal menyumbang 67.3% daripada jumlah itu.

Bermula dari tahun 2000 hingga tahun 2020, seramai 17,106 warga emas maut dalam nahas jalan raya, mewakili 13.1% daripada keseluruhan kes.

Manakala pada tahun 2022, seramai 1,107 warga emas maut (18.2% dari 6,080 kematian) iaitu meningkat berbanding 793 kematian (17.5% dari 4,539 kematian) pada tahun 2021.

Ringkasnya, terdapat peningkatan penglibatan warga emas dalam nahas jalan raya, iaitu 9.2% pada 2021 dan 12.0% pada 2022, kemungkinan kerana peningkatan populasi warga emas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini