comscore
Tumpuan :
Nasional

Diskriminasi tempat kerja, bahas Belanjawan 2024 antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada kerajaan berhasrat merangka suatu legislatif khas berhubung diskriminasi di tempat kerja, bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi laman rasmi Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) pada sesi soal jawab kepada Menteri Sumber Manusia, dengan cadangan perundangan itu antara lain bagi melindungi mereka yang mempunyai ketidakupayaan fizikal ataupun mental.

Pada sesi sama, Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan jumlah graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dari 2018 hingga 2023, serta bilangan yang sudah memperoleh pekerjaan dalam bidang latihan berkenaan.

Turut tersenarai soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang mahu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan jumlah jangkaan pelaburan asing pada 2024, serta kaedah kementerian itu menyeimbangkan pelaburan yang masuk di semua negeri dan bukan hanya di Lembah Klang.

Persidangan hari ini juga tertumpu pada sesi perbahasan hari pertama Belanjawan 2024, selepas ia dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 itu akan dibahas di peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Oktober ini.

Ahli-Ahli Parlimen kemudian akan mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang berkenaan di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 November depan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat”, Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion atau 19.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan tiga kementerian iaitu Kewangan, Pendidikan dan Kesihatan menjadi penerima utama.

Melalui jumlah peruntukan itu, beliau berkata sebanyak RM303.8 bilion atau 77.1 peratus disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), manakala baki RM90 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE) dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober lalu hingga 30 November ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini