comscore
Tumpuan :
Nasional

Doakan kesihatan bapa saya- Hajar Hanifah

Anak bongsu bekas Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Datuk Hanifah Hajar Taib. Foto: Facebook

KUALA LUMPUR: Anak bongsu bekas Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Datuk Hanifah Hajar Taib, meminta orang ramai mendoakan kesihatan bapanya yang sedang sakit.

“Doakan beliau sembuh,” katanya ketika ditemui media di luar persidangan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) di Petaling Jaya, pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan terkini Abdul Taib, selepas didakwa dibawa keluar dari unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta, tengah malam Sabtu lalu.

Abdul Taib dibawa keluar dari hospital dengan mengabaikan mendengar nasihat kakitangan ICU, selain tidak dirundingkan dengan ahli keluarga.

Timbalan Menteri Ekonomi itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi mengenai status Abdul Taib, termasuk dakwaan berlaku penculikan oleh isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Dalam satu hantaran di Instagram malam tadi, Raghad berkata perkara itu tidak benar dan mendakwa beliau boleh membuktikannya, iaitu menerusi nota tulisan tangan jururawat.

Menurut nota yang dikongsi Raghad, pada jam 1.40 tengah hari Sabtu, doktor dimaklumkan yang Raghad ingin membawa Abdul Taib pulang dan seorang doktor mengambil maklum permintaan itu.

Semalam, pihak polis dilaporkan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Siasatan itu berdasarkan dua laporan polis berasingan, satu dibuat oleh doktor yang bertugas lewat malam Sabtu lalu manakala seorang ahli keluarga terdekat mendakwa peralatan perubatan yang dipasang di tubuh Abdul Taib dicabut tanpa memaklumkan kepada hospital.

Laporan polis kedua dibuat adik Abdul Taib, Datuk Mohamnad Tufail Mahmud pada Ahad lalu berdasarkan laporan pertama.

Mohammad Tufail mendakwa sebelum ini beliau diberi salinan laporan polis yang dibuat oleh doktor di Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching, tempat Abdul Taib menerima rawatan rapi.

Dalam laporannya, doktor terbabit mendakwa bahawa Abdul Taib dibawa keluar dari hospital walaupun dinasihatkan supaya kekal di kemudahan itu untuk rawatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini