comscore
Tumpuan :
Nasional

Doktor ditegur panggil pesakit kanak-kanak ‘ekor’

IPOH : Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sudah memberi teguran terhadap doktor di Klinik Kesihatan Menglembu di sini, kerana gagal memberi layanan profesional terhadap pesakit termasuk memanggil pesakit kanak-kanak dengan panggilan ‘ekor’ .

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim dalam satu kenyataan malam tadi berkata, pihaknya mengambil maklum insiden pesakit itu.
Katanya, pada 6 Disember lalu, seorang pesakit kanak-kanak yang mengalami demam, batuk dan selsema hadir menerima rawatan di klinik kesihatan terbabit.

“Bagaimanapun, kualiti rawatan dan tahap komunikasi yang disampaikan oleh pegawai perubatan kurang memuaskan.

“Pegawai perubatan terbabit sudah diberi teguran supaya berkomunikasi secara profesional dan melakukan pemeriksaan klinikal yang baik bagi semua pesakit yang hadir,” katanya.

Justeru, bagi memastikan tahap perkhidmatan yang baik dan mengelakkan kejadian sama berulang, JKN Perak sudah mengarahkan supaya Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Menglembu menjalankan audit klinikal secara berkala.

Terdahulu, tular video di TikTok mengenai seorang ibu mendakwa menerima layanan buruk daripada seorang doktor di sebuah Klinik Kesihatan yang dikunjungi baru-baru ini.

Wanita berkenaan mendakwa pegawai perubatan bertugas bersikap kurang profesional kerana tidak membuat sebarang pemeriksaan terhadap dua anaknya yang sudah demam sejak tiga hari .

Dia juga terkilan apabila mendengar pegawai perubatan berkenaan membahasakan diri kedua-dua anaknya yang sakit itu dengan panggilan ‘budak dua ekor’.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini