comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua beradik maut, ibu kritikal dalam kebakaran bilik sewa

Anggota bomba melakukan pemadaman menggunakan jentera ALP. FOTO: NSTP

MELAKA: Dua beradik meninggal dunia di Hospital Melaka (HM) manakala ibu mereka dilaporan kritikal selepas bilik sewa didiami mereka di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini, hari ini, terbakar tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang maut adalah Nuralia Karisa Abdullah,12, dan adiknya, Nur Riaisha Zahra berusia dua tahun manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin,40, masih dirawat dan dilaporkan kritikal.

Beliau berkata, polis menerima panggilan berkenaan kebakaran itu pada jam 1.32 tengah hari daripada seorang lelaki pemilik kedai pelekat dan bilik sewa yang terbakar, Cham Chin Sum,41.

“Pemilik kedai menyedari kebakaran di tingkat atas kedainya kira-kira jam 1.30 tengah hari dan terus menghubungi bomba di talian 999.

“Pasukan bomba terdiri daripada dua pegawai dan 38 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil, BBP Jalan Kubu dan BBP Ayer Keroh dengan tiga jentera dan sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP).

“Turut membantu tiga ambulans daripada MERS/ Bulan Sabit Merah dan HM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Christopher berkata, siasatan awal saksi iaitu Lem Wee Suan,22, dan isterinya dikenali sebagai Catrina, menyedari kebakaran apabila asap tebal memasuki ruang bilik mereka di tingkat 2.

Katanya, mangsa terus keluar bersama isterinya untuk menyelamatkan diri dan dihantar ke HM untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

“Dalam operasi itu pihak bomba juga berjaya mengeluarkan tiga mangsa yang terperangkap di sebuah bilik di tingkat 3 (Lot 3-27) dan dihantar ke HM dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Anggota Pondok Perhubungan HM bagaimanapun memaklumkan dua anak mangsa telah disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka, manakala si ibu masih kritikal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.33 tengah hari dan pasukan bersama jentera tiba di tempat kejadian 1.43 tengah hari.

“Peringkat awal kita turut mendapat bantuan orang awam yang melakukan pembaikan bangunan untuk mengunakan Skylift bagi menyelamatkan sepasang suami isteri. Kita juga mengeluarkan mangsa mengikut tangga juga,” katanya.

Punca sebenar dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini