comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah musnah terbakar

Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Tujuh mangsa membabitkan dua keluarga, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Tatahan 2, Inanam, di sini, musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tiga rumah yang diperbuat daripada struktur binaan kayu musnah sepenuhnya.

Mangsa, Kuilan Gamin, 57, berkata, beliau berada di tempat kerja ketika kejadian dan segera pulang ke rumah selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Sebaik tiba, api sudah memusnahkan sebahagian besar rumah. Tiada apa yang dapat diselamatkan. Saya buntu dengan nasib keluarga kerana kami tidak ada lagi tempat untuk berteduh selepas ini.

“Ketika ini, kami ditempatkan di Dewan Bersatu Tatahan bersama satu lagi keluarga jiran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ibu tunggal yang tinggal bersama dua anaknya itu berharap ada pihak yang sudi membantu mereka.

Seorang lagi mangsa, Severinus Jangkah, 41, berkata beliau, isteri dan dua anak terpaksa menumpang di rumah keluarga lain untuk sementara waktu.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan menerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Inanam di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 121054100108891.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.31 pagi.

Katanya, sepasukan 16 anggota, pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bertindak ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, api berjaya dikawal pada jam 11.21 dan kebakaran tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini