comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dua lelaki ditahan polis selepas enam jam samun kedai

Antara barang bukti kes dua pekerja bengkel membaiki kenderaan yang disyaki terbabit dalam kes samun di sekitar Parit Sulong, Batu Pahat, Johor. -FOTO: Ihsan PDRM

BATU PAHAT: Dua lelaki disyaki terbabit dalam kes samun dua premis perniagaan di sekitar Parit Sulong, ditahan polis kira-kira enam jam selepas melakukan perbuatan jenayah itu.

Kedua-dua suspek dipercayai pekerja bengkel membaiki kenderaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, suspek yang berusia 26 dan 29 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan benzodiazepin hasil ujian saringan air kencing.

Beliau berkata, polis turut menemui wang tunai berjumlah RM3,025 bersama parang dan sabit serta beberapa telefon bimbit dipercayai hasil samun di kedua-dua kedai berkenaan.

“Semalam, tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan dua lelaki memakai helmet dan bersenjata parang dipercayai telah melakukan samun di Parit Sulong.

“Pada jam lebih kurang 11.30 malam, pihak polis Parit Sulong telah menerima satu laporan daripada mangsa iaitu seorang pemilik kedai snuker menyatakan, dia disamun dua lelaki yang tidak dikenali pada jam lebih kurang 9 malam.

“Hari ini lebih kurang 2.30 pagi, satu lagi laporan polis diterima daripada pemilik kedai menjual telefon bimbit dan peralatan komunikasi menyatakan, kedainya disamun pada jam lebih kurang 9.30 malam.

“Bertindak di atas makluman awam pada jam lebih kurang 3 pagi, dua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 29 tahun telah berjaya ditangkap di kawasan Parit Sulong,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kedua-duanya direman lima hari sehingga Khamis ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

“Sepasukan polis telah menjalankan siasatan di kedua-dua tempat kejadian dan mendapati seorang pekerja cedera ringan akibat dipukul di kepala oleh salah seorang suspek dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

“Kedua-dua pemilik kedai mengalami kerugian wang tunai selain beberapa telefon bimbit dan peralatan di dalam premis turut dirosakkan suspek,” katanya.

Loading...
Terkini