comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Dua mangsa nahas MPV meninggal dunia ketika terima rawatan

Oleh: Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Dua remaja lelaki yang cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV)  dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang lampu jalan di Lebuhraya Langkawi, pada Rabu, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Maliha.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari dalam satu kenyataan memaklumkan  Muhammad Fizz Razwail Zainuddin menghembuskan nafas terakhir, jam 10.53 malam tadi manakala Muhammad Haikal Hakim Che Isa disahkan meninggal dunia jam 8.59 pagi ini.

Kedua-dua mangsa berusia 18 tahun meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ berpunca daripada trauma kemalangan itu.

“Siasatan mendapati ketika kejadian, keadaan hujan renyai. Kenderaan mangsa sedang menghala dari arah Kuah ke Padang Gaong dan dipercayai hilang kawalan apabila sampai di selekoh dan terbabas.

“Dua penumpang yang berada di dalam MPV tersebut tercampak keluar dari kenderaan itu. Terdapat juga mangsa yang tersepit di dalam kenderaan tersebut dan pihak bomba telah mengeluarkan mangsa seterusnya di bawa ke hospital,” katanya.

Dalam nahas jam 7.40 malam itu, dua lagi mangsa, termasuk pemandu kenderaan cedera ringan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini