comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ekonomi dan pendidikan antara teras dibincangkan dalam AFMM – Zambry

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Malaysia – Australia (AFMM) merupakan mekanisme dua hala di bawah Deklarasi Bersama Kerjasama Strategik (JDSP) antara kedua-dua negara yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata mesyuarat kali ini membincangkan perkara penting termasuk ekonomi, sains dan teknologi, pendidikan, pertahanan dan keselamatan serantau.

Katanya, beliau telah mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan dalam Lawatan Kerja ke Adelaide, Australia pada 4 hingga 6 Mei.

“Saya telah mengadakan Lawatan Kerja ke Australia dari 04 hingga 06 Mei 2023 bagi mengetuai delegasi Malaysia ke AFMM ke-5.

“Sehingga kini, sebanyak empat kali mesyuarat telah diadakan iaitu pada Mac 2017 (Putrajaya), November 2019 (Sydney), Disember 2020 (Kuala Lumpur) dan November 2021 (Kuala Lumpur) serta dihoskan secara bergilir antara Malaysia dan Australia.

“Mesyuarat kali ini telah membincangkan perkara-perkara teras penting termasuklah ekonomi, sains dan teknologi, pendidikan, pertahanan dan keselamatan serantau,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, perbincangan berjalan dalam suasana baik dan mesra dengan mengambil kira kepentingan bersama kedua-dua belah pihak.

Jelas beliau, mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengambil tindakan susulan di peringkat kerja di kementerian dan agensi yang berkaitan.

Beliau berkata, lawatan kerjanya ke Australia itu telah berjaya mempertingkatkan hubungan dua hala yang sedia erat antara Malaysia dan Australia selain menyelesaikan isu-isu bersama di bawah Kerangka Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).

“Lawatan kerja ini juga telah berjaya membuka ruang dan peluang perdagangan melalui kerjasama baharu menerusi modenisasi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA).

“Memperkukuhkan komitmen bersama ke arah memelihara kestabilan dan keamanan rantau Indo-Pasifik tanpa sebarang ancaman mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Australia Selatan yang ke-47, Tuan Yang Terutama Peter Malinauskas MP.

“Semasa pertemuan tersebut, kami telah bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala yang berkepentingan bersama serta usaha untuk mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat di antara Malaysia dan Australia Selatan.

“Pertemuan ini amat bermakna kerana tahun 2023 juga merupakan ulang tahun ke-50 ‘Sister City’ di antara Georgetown, Pulau Pinang dan Adelaide, Australia Selatan,” katanya.

Loading...
Terkini