comscore
Tumpuan :
Nasional

Pensyarah pro-Zionis: KPT masih belum terima laporan UM

Menteri KPT, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri KPT di Putrajaya

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih belum menerima laporan daripada Universiti Malaya (UM) berhubung seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan dilihat mencetuskan kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya tidak pernah menyekat kebebasan akademik di negara ini, sebaliknya hanya mempersoalkan tindakan menjemput pensyarah berkenaan yang sememangnya terkenal dengan kontroversi.

“Saya masih menanti lagi (laporan), saya telah maklumkan saya nak laporan segera, saya sebutkan bahawa tidak mahu peristiwa seperti ini berulang, tetapi dalam masa sama kita perlu tahu laporannya kenapa (jemput pensyarah tersebut), pada awalnya, takkan UM tak semak dulu (latar belakang pensyarah),” katanya yang ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri KPT yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Rabu lalu, tular di aplikasi X berhubung kehadiran pensyarah Bruce Gilley yang pro-Zionis dalam satu program di UM, yang dimuat naik sendiri oleh profesor sains politik tersebut.

Bagaimanapun, perkara itu mendapat kecaman rakyat Malaysia sebelum hantaran terbabit dipadam oleh Gilley, yang turut memberitahu dirinya telah meninggalkan Malaysia semalam.

Mengulas mengenai kenyataan seorang profesor universiti tempatan bahawa UM tidak perlu memohon maaf di atas keputusan menjemput pensyarah dari Amerika Syarikat (AS) itu, Zambry berkata, kenyataan yang dicetuskan Gilley yang disifatkannya terlalu celupar memberi kesan negatif dan memburukkan imej Malaysia.

“Saya harap mereka yang berkenaan yang membuat komen itu perlu membezakan antara konteks kebebasan akademik dengan kebebasan yang menyentuh tentang kedudukan negara, imej negara dengan membuat kenyataan yang terlalu biadap dan sangat berbahaya. Itu kita kena bezakan,” katanya.

Dalam ucaptamanya di UM baru-baru ini, Gilley memperkecilkan hubungan Malaysia dan AS selain mendakwa Malaysia mahukan ‘holocaust’ kedua terhadap orang Yahudi dan turut memuat naik kenyataan sama di media sosialnya.

Susulan itu, KPT mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri penceramah terbabit dibatalkan segera, dengan UM tampil memohon maaf kepada semua pihak sambil melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan kontroversi dibuat Gilley.

Ditanya sama ada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu merujuk kepada KPT sebelum menjemput mana-mana penceramah selepas ini, menurut Zambry, pihaknya memberi kebebasan dan menghormati keputusan pemilihan penceramah oleh mana-mana IPT.

Namun katanya, apa yang paling penting adalah IPT tersebut perlu memeriksa latar belakang dan kepakaran individu berkenaan.

“Jika anda lihat latar belakang individu ini (Gilley), beberapa penulisannya, dalam konteks kolonialisme dan imperialisme, anda boleh lihat, semua orang mempertikaikan dia.

“Jadi kenapa boleh benarkan individu ini untuk datang dan mengajar kita sedangkan kita ada ramai pensyarah yang lebih baik dan bagus di Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini