comscore
Tumpuan :
Nasional

EKSLUSIF: Kebersamaan, Keterbukaan Perlu Diterapkan Dalam Kalangan Warga Pendidik

Oleh Mieza Shafieza Mohd Fuad

PETALING JAYA: ‘Mengutamakan sifat kebersamaan dan keterbukaan dalam memacu transformasi pendidikan negara.’ Itu pendirian insan yang kini dilantik selaku Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu 23 September lalu, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Tegas Datuk Pkharuddin sifat tersebut perlu diterapkan dalam kalangan warga pendidik dan warga Kementerian Pendidikan (KPM) terlebih dahulu sebelum mereka dapat menurunkannya kepada generasi masa akan datang.

“Kita bukan mencari perbezaan tetapi kita mencari kesamaan. Kita bukan mencari satu kepincangan tetapi kita mencari kekuatan. Saya yakin warga pendidik yang ada di luar sana pasti sangat komited dan jujur dalam mendidik anak bangsa kita,” katanya dalam temu bual khas bersama wartawan DidikTV KPM.

Dalam tempoh 33 tahun perkhidmatan beliau di pelbagai organisasi dalam KPM, Datuk Pkharuddin berkata, kerjasama dari pelbagai peringkat adalah tunjang menentukan kekuatan sesebuah organisasi agar perancangan penting sektor pendidikan dapat dilaksana dengan baik.

Dalam pada itu, katanya ketika negara dilanda pandemik Covid-19, warga pendidik membuktikan sifat kebersamaan dalam memastikan sektor pendidikan berjalan dengan lancar khususnya menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

“Bagi saya sendiri pengalaman menguruskan SPM 2020 sangat besar maknanya. Tidak pernah terfikir 20 tahun saya menguruskan peperiksaan di Negeri Sembilan, tidak pernah rasa nikmat yang lebih istimewa dari mengendalikan SPM 2020 kerana inilah kebersamaan yang betul-betul menyeluruh.

“Semua mereka yang ada dalam sistem pendidikan termasuk yang diluar sistem pendidikan juga bersama-sama menguruskan supaya ia berjaya demi masa depan anak bangsa kita.

“Jadi kebersamaan dan momentum inilah yang kita akan teruskan dalam membawa kemajuan dalam pendidikan negara sebab kita sudah ada saling mempercayai, keterbukaan dan kesyukuran. Itulah yang kita akan teruskan pasca Covid-19 nanti.”

Visi KPM iaitu pendidikan berkualiti, insan terdidik, negara sejahtera harus dipegang teguh oleh warganya.

“Apa yang kita nak pastikan anak-anak yang kita didik itu menjadi anak yang baik lagi cerdik atau ringkasnya ABC. A anak, B baik, dan C cerdik. Jadi kita didiklah sahsiah, rohani dan emosi mereka.
“Kita beri satu suasana yang stabil supaya anak-anak kita rasa seronok, ada rasa bangga diri dan keyakinan. Dengan potensi yang mereka ada itu kita bina kebaikan daripadanya.”

Jelasnya, potensi itu dapat menjadi bekal mereka pada masa akan datang kerana ia berpaksikan kecemerlangan intelek dan individualistik sekaligus melahirkan insan yang cemerlang dan terbilang.

Selain itu, misi KPM adalah melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti demi membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.

Datuk Pkharuddin berkata, visi dan misi KPM berkait rapat dengan sudut kepimpinan yang ada dalam sistem pendidikan.

“Dalam lima tahun akan datang dengan kepimpinan yang saya sebutkan tadi, kita akan bawa satu bentuk kepimpinan berdasarkan ‘trust and inspire’ iaitu yang saling mempercayai dan saling memberi inspirasi.

“Jadi atas semangat dan momentum itu, mereka akan buat yang terbaik bagi mendidik anak-anak bangsa kita.”

Ujarnya, ABC bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang saling menyokong antara satu sama lain malah mendidik mereka menjaga kesantunan dan disiplin, mematuhi undang-undang serta menggalakkan persaingan sihat sesama mereka.

Datuk Pkharuddin yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Dasar dan Kurikulum, dijangka mampu memacu dunia pendidikan negara ke satu tahap yang membanggakan.

Loading...
Terkini