comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia teroka peluang hantar pensyarah, jurulatih TVET ikuti latihan ToT di Korea Selatan, Turkiye 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di London untuk menghadiri Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) 2023 yang akan berlangsung mulai 27 hingga 28 Oktober.

LONDON: Kerajaan merancang menghantar pensyarah serta jurulatih khususnya dalam bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke Korea Selatan dan Turkiye bagi mengikuti latihan intensif program ‘Training of Trainers’ (ToT).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kedua-dua negara memiliki institusi TVET terbaik dan berpengalaman.

Jelasnya, ToT merupakan satu elemen penting dalam mempercepat dan mempertingkatkan latihan dan skil tenaga kerja baharu.

Buat masa ini, kerajaan katanya menghantar pensyarah ToT ke Jerman dan Jepun, kerana kedua-dua negara terbabit mempunyai kekuatan dalam TVET, selain memiliki mempunyai hubungan yang sangat lama dengan Malaysia.

“Bagaimanapun, kita harus meneroka peluang ini dengan Korea Selatan kerana mereka mempunyai institusi TVET cukup berpengalaman walaupun satu ketika dahulu mereka pernah belajar dengan sebuah negara di Eropah dan akhirnya negara terbabit belajar balik dengan Korea Selatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai sesi bual bicara kelolaan Overseas Development Institute (ODI) bertajuk ‘Modal Insan Penggerak Pembangunan Negara: Pandangan Daripada Pendekatan Ekonomi Baharu Malaysia’.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, Turkiye pula memiliki kemahiran tinggi dari segi industri pertahanan.

Cadangan terbabit akan diterjemahkan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan kerana bajet yang disediakan perlu diselaraskan untuk memberi latihan baharu kepada tenaga pengajar serta jurulatih terbabit.

“Belanjawan 2024 memperlihatkan (keperluan memberikan) latihan secara berketerampilan, berkemahiran dan profesional untuk dijadikan antara keutamaan dalam mewujudkan sumber tenaga yang baharu.

“Malah kami juga membuka peluang untuk bakal jurulatih ini belajar mengenai industri baharu, umpamanya dalam industri aeroangkasa kerana peluang dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) amat besar di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, pada sesi bual bicara itu, beliau berkongsi mengenai pendekatan konsep MADANI diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mampu mendukung keseimbangan dan kestabilan masyarakat.

Jelasnya, konsep berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan antara penggerak penting dalam memacu pertumbuhan modal insan di Malaysia yang terdiri dengan kepelbagaian kaum, agama serta budaya.

Zahid kini dalam lawatan kerja di United Kingdom (UK) bagi menghadiri Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) 2023.

Selain merasmikan WHBC 2023, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu dijadual mengadakan beberapa pertemuan rasmi dengan Ahli Parlimen UK.

Beliau juga dijadual mengadakan mesyuarat bilateral dengan Setiausaha Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar UK, Therese Coffey.

Loading...
Terkini