comscore
Tumpuan :
Nasional

Elaun guru khidmat masyarakat hanya RM300 sebulan

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Datuk Satiful Bahari Mamat.-Foto fail.

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bercadang menaikkan kadar elaun guru khidmat masyarakat Yayasan Islam Terengganu (YIT) daripada RM300 sebulan kepada RM1,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata kenaikkan kadar elaun kepada guru khidmat masyarakat hanya boleh dilakukan jika kerajaan negeri menerima royalti petroleum.

Katanya, setakat ini kerajaan negeri hanya mampu membayar elaun sebanyak RM300 kepada guru khidmat masyarakat.

“Jika kerajaan negeri memperolehi royalti petroleum daripada kerajaan pusat, kita akan naikkan sebanyak RM700 menjadikan RM1,000 sebulan,” katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan ahli dewan undangan negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi pada persidangan dewan undangan negeri (DUN) hari ini.

Melalui soalan asal, Tengku Muhamad Fakhruddin bertanyakan apa perancangan kerajaan untuk memastikan kebajikan guru-guru Al-Quran di peringkat kampung terbela.

Menjelaskan lebih lanjut, Satiful berkata Yayasan Islam Terengganu (YIT) sentiasa mengadakan program bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran semua guru khidmat masyarakat.

Katanya, YIT juga turut mengadakan program kongsi rezeki kepada guru khidmat masyarakat setiap tahun, memilih guru yang sesuai untuk dijadikan sebagai guru pembimbing dan menyediakan kursus guru untuk meningkatkan mutu pembelajaran guru.

Kali terakhir elaun guru khidmat masyarakat di Terengganu dinaikkan adalah sebanyak RM150 dan dilakukan pada tahun 2011.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini