comscore
Tumpuan :
Nasional

Emosi Attar Azim semakin stabil – Exco

IPOH: Setelah kehilangan empat ahli keluarga sekaligus termasuk ibu bapanya dalam kemalangan di Kelantan, kanak-kanak Attar Azim Syukran Jamil, 9, mula menjalani sesi kaunseling bermula Isnin lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed, sesi kaunseling itu akan dibuat setiap dua minggu.

Katanya menerusi maklum balas kaunseling sesi pertama yang diadakan di rumah datuknya itu mendapati perkembangan emosi kanak-kanak itu semakin stabil.

“Perkembangan baik itu berkemungkinan kerana sistem sokongan yang baik daripada kalangan ahli keluarga kanak-kanak itu sendiri iaitu keluarga arwah bapanya termasuk datuk dan nenek.

“Kita akan tengok lagi dan jika masih dalam keadaan tertekan kita mungkin adakan sesi lanjutan.

“Untuk permulaan, mungkin dia tidak begitu rasa sangat (kehilangan) memandangkan masih kanak-kanak. Bila sudah lama baru akan terasa ada kehilangan dan jadinya kalau ada keperluan kita akan pergi teruskan kepada sesi yang selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Wanita Peringkat Perak anjuran Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri Perak (Wanita Perak) di Hotel Kinta Riverfront, di sini hari ini.

Salbiah berkata kerajaan negeri melalui JKM sudah meluluskan bantuan bulanan kepada Attar Azim di bawah bantuan kanak-kanak bagi tujuan persekolahan kanak-kanak itu.

“Bantuan itu akan diberikan sebaik dapat mengenal pasti penjaga sebenar kepada Attar kerana kita dimaklumkan, keluarga sebelah arwah ayahnya mahu menjaga, cuma belum dimaklumkan siapa supaya saluran bantuan itu nanti akan kita selaraskan,” katanya.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan tugas dan tanggungjawab menjaga kanak-kanak yang yatim piatu sekelip mata itu digalas oleh bapa saudaranya, Nor Azam Ab Hamid, 45, yang juga adik kepada bapa Attar Azim iaitu allahyarham Syukran Jamil Ab Hamid, 35.

Nor Azam adalah anak keempat, manakala Allahyarham Syukran Jamil pula anak kelapan daripada sembilan adik-beradik.

Attar Azim satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan empat ahli keluarganya dalam kemalangan di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, 2 Mac lalu.

Kanak-kanak itu buat masa ini mendiami kediaman datuknya di FELDA Trolak Utara keluarga kami di (FELDA) Trolak Utara, Sungkai, di Tanjung Malim.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini