comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat penumpang kenderaan JAKOA cedera dalam kemalangan

BENTONG: Seorang kanak-kanak lelaki serta tiga wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 47.3 Lebuhraya Kuala Kumpur-Karak, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 1.27 petang tadi.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika MPV dipandu warga asing berusia 44 tahun berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Jeli, Kelantan.

“MPV berkenaan berada di lorong kiri kemudian bergesel dengan pacuan empat roda terbabit yang dipandu lelaki tempatan berusia 57 tahun yang berada di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, kemalangan itu menyebabkan penumpang yang menaiki kenderaan JAKOA iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun serta tiga wanita berusia antara 15 hingga 39 tahun mengalami kecederaan.

“Kesemua penumpang yang cedera dalam kemalangan ini dihantar ke Hospital Temerloh untuk menerima rawatan.

“Kedua-dua pemandu kenderaan terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini