comscore
Tumpuan :
Nasional

Fadillah lawat Port of Antwerp-Bruges

Foto : Fadillah Yusof / Facebook

BRUSSELS: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof melawat Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya ke Belgium pada Rabu.

Terletak 80km dari Laut Utara di Sungai Scheldt, PoABI merupakan pelabuhan kontena antarabangsa kedua terbesar di Eropah dan yang ke-14 di dunia.

Dalam lawatan itu, Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi diberi taklimat mengenai pelabuhan oleh pengarahnya, Stefan Cassimon.

PoABI adalah perintis dalam kalangan pelabuhan-pelabuhan mampan.

Tahun lalu, penyedia perkhidmatan logistik perkapalan pukal kering yang berpangkalan di Sarawak Hubline Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PoABI  ketika negeri itu sedang meninjau peluang untuk membina pelabuhan laut dalam baharu untuk selatan Sarawak di Tanjung Embang.

Mengikut laporan, Tanjung Embang akan dibangunkan oleh ASSAR Group, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

Manakala pada Oktober tahun lalu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) turut memeterai perjanjian kerjasama dengan PoABI untuk membangunkan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung, Perak, melibatkan jumlah pelaburan kira-kira RM72 bilion untuk tempoh selama 25 tahun.

Meliputi kawasan seluas 9,307.7 hektar, LuMIC akan dibangunkan melalui syarikat pembangunan bersama, dengan PKNPk menguasai pegangan 51 peratus dan PoABI 49 peratus. –  BERNAMA.

Loading...
Terkini