comscore
Tumpuan :
Nasional

Fahami, hayati dan amal doktrin Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen – Sultan Nazrin

Oleh Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR: Semua pihak diseru untuk memahami, menghayati serta mengamalkan doktrin Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ini kerana perkara berkenaan mengandungi semangat luhur yang akan mewujudkan sistem pemerintahan saling imbang mengimbangi dan sistem berkerajaan saling lengkap-melengkapi.

“Doktrin Raja Berperlembagaan – Demokrasi Berparlimen apabila difahami, dihayati dan diamalkan, berupaya menjadi sauh membantu mewujudkan kerajaan yang stabil, kerajaan yang mengamalkan budaya tadbir urus yang telus dan terpuji, kerajaan yang mendapat keyakinan, penerimaan dan sokongan rakyat.”

“Sesungguhnya, takhta berupaya dan takhta bersedia memenuhi tanggungjawab untuk membina keyakinan ketika rakyat sedang dilambung gelombang krisis keyakinan dengan memenuhi peranan mekanisme semak dan imbang, demi memastikan berlakunya keadilan; memberikan jaminan bahawa setiap warga berkedudukan sama di sisi undang-undang, memastikan perlembagaan diluhurkan dan undang-undang didaulatkan.” titah Sultan Nazrin, ketika berkenan melancarkan buku ‘Kedaulatan Malaysia – Governan Utama Negara’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur PABKL, di WTCKL di sini.

Buku hasil nukilan Datuk Prof. Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain diterbitkan bertujuan memberi pencerahan maksud kedaulatan di sisi falsafah undang-undang, di samping menghuraikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja sebagai tonggak kedaulatan Malaysia.

Titah Baginda, dengan hikmah dan kebijaksanaan, Raja-Raja Melayu sebenarnya berupaya memenuhi peranan pelengkap untuk membantu mengukuhkan kerajaan yang dibentuk berlandaskan sistem demokrasi berparlimen.

Justeru Sultan Nazrin bertitah, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, takhta, cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, wajib merangkaikan jalinan kerjasama dalam semangat saling melengkapi, sekali gus memenuhi peranan semak dan imbang, untuk membangunkan sebuah negara yang berdaulat.

Loading...
Terkini